KUALA LUMPUR – Projek Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan tumpu kepada pelaburan, infrastruktur, teknologi dan pengetahuan pertanian semasa.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, untuk memastikan INTAN ini berjaya, beliau dan Kementerian Ekonomi tidak mahu mengulangi kesilapan atau masalah yang sama sebelum ini.
“Untuk INTAN berjaya, kita akan tumpu kepada beberapa perkara iaitu program tani ini mesti capai skala nasional.
“Program ini tidak boleh diserah kepada satu, dua agensi sahaja tapi mesti bersepadu libatkan seberapa ramai pihak yang boleh,” syor Rafizi.
Saran lain yang dikemuka beliau ialah membangunkan projek-projek rintis, bina ekosistem keseluruhan dan model perniagaan mampan.
“Bantu dari segi mengenal pasti tanah, bantu pemasaran dan risiko tanaman.
Tidak serahkan bulat-bulat kepada petani,” tegas beliau.
Rafizi menyatakan, pertanian ini adalah sektor moden, bukan lagi zaman asal ada cangkul boleh tanam.
“INTAN akan tumpu kepada pelaburan, infrastruktur, teknologi dan pengetahuan pertanian semasa.
“Konsep menjadi petani telah berubah kepada professional tani. Penguasaan pengetahuan mesti merangkumi tanaman, kemahiran kejuruteraan, pemasaran dan lain-lain,” jelas beliau lagi.
Untuk rekod, INTAN adalah strategi serampang pelbagai mata dengan sasaran untuk memantapkan keterjaminan makanan negara dan membina kemudahan pertanian kendiri di lokasi strategik menggunakan teknologi ’modern farming’.
Ujar Rafizi sebelum ini, kerajaan akan menyediakan tanah, infrastruktur pertanian, latihan dan kos operasi seperti baja, sokongan pemasaran, padanan dengan pembeli serta elaun bulanan sementara menunggu hasil tuaian.
“Kepada rakyat yang berminat, berikut adalah kriteria-kriteria dan garis panduan untuk permohonan INTAN, pertama, mestilah pertanian kontan yang kitaran tuaiannya sekitar tiga ke lima bulan supaya tidak menunggu terlalu lama.
“Kedua, tanaman kontan yang boleh diusahakan melalui polibag atau fertigasi. Ketiga, mengutamakan jenis tanaman-tanaman yang ada serta-merta di pasaran dan mudah mendapat pendapat,” katanya.
Untuk menyertai INTAN, pohon di sini https://ipr.ekonomi.gov.my/sign_up