Sokong dan Undi Calon BN Tidak Bercanggah Dasar Parti – Mursyidul Am PAS

ALOR SETAR — Sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis tidak bercanggah dasar PAS.

Mursyidul amnya berkata ahli parti Islam itu dibenar untuk memilih individu yang kurang membawa mudarat, lapor Harakah Daily.

“Sebagai salah seorang ahli Majlis Syura, apa saja keputusan yang PAS buat setakat ini belum lagi terkeluar atau menyanggahi dasar parti,” kata Datuk Hashim Jasin.

“Oleh itu andainya ada pemimpin PAS yang secara terbuka memberi sokongan kepada calon dari BN, ia tidak terkeluar dari dasar PAS kerana kita dibenarkan untuk memihak kepada yang lebih ringan bahayanya dari keduanya (BN dan PH/PKR)”.

Kelmarin, timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Kota Raja mempersoalkan tindakan pemimpin PAS menyeru penyokong parti tersebut mengundi calon BN.

Mohd Najib Arshad menyifatkan keputusan itu membelakangkan kuasa Majlis Syura dan Muktamar serta menyalahi semangat Perlembagaan PAS.

PRK berkenaan dibuat susulan kematian penyandang wakil rakyat PKR Mat Shuhaimi Shafiei akibat barah limfoma tahap empat awal bulan lalu.

Tanpa calon PAS, PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Zawawi Mughny, Datuk Lokman Noor Adam (BN) dan K Murthy (Bebas).

Hari penamaan calon diadakan pada 21 Julai lalu manakala hari mengundi 4 Ogos ini. – MalayMail

One thought on “Sokong dan Undi Calon BN Tidak Bercanggah Dasar Parti – Mursyidul Am PAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.