Kerajaan Berdepan Krisis Kewangan Jika Semua Tol Lebuh Raya Dimansuhkan, Kata Menteri

KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal berdepan krisis kewangan jika tol di seluruh negara dihapuskan serentak.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol dianggar RM400 bilion.

“Penghapusan tol secara serentak akan memberi kesan kepada kewangan kerajaan kerana kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol mencecah RM400 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengenai janji manifesto Pakatan Harapan (PH) menghapuskan tol, Baru berkata, kerajaan akan membuat kajian dan penelitian sebelum membuat keputusan.

“Kerajaan perlu menjaga kepentingan semua pihak termasuk pemegang konsensi, pelabur dan pemberi pinjaman.

“Justeru, semua isu berkaitan penghapusan tol dan implikasi serta jumlah tol akan dimuktamadkan selepas kita berbincang dan mendapat nasihat daripada agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

Menjawab celahan Datuk Ahmad Maslan (BN-UMNO Pontian) supaya kerajaan menyenaraikan tol yang akan dihapuskan, Baru berkata, ia perlu dikaji.

“Itu (bilangan tol dimansuhkan) akan dikaji dan keputusannya akan dibuat kelak,” katanya.

Kepada celahan Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau), Baru memberi jaminantidak akan memperkenalkan tol baharu

“Kalau itu (tol) adalah yang baharu atau yang belum bina, saya beri jaminan kita tidak akan teruskan (buka tol di lebuhraya baharu),” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.