Filem Animasi Wheely Bakal Ditayangkan Di 100 Negara

KUALA LUMPUR – Filem animasi tempatan terbitan Kartun Studios, Wheely bakal ditayangkan di 100 negara.

Penerbit Eksekutifnya, Datuk Norman Abdul Halim berkata, Wheely bakal ditayangkan di Rusia dan Brazil selepas dipertontonkan di pawagam tempatan pada 16 Ogos ini.

“Sebelum filem ini siap sepenuhnya, kami membuat pra jualan di peringkat antarabangsa. Kami mendapat tempahan dari 100 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), China, Jerman, Poland, Ecuador dan Iceland.

“Saya anggap ini suatu kejayaan untuk filem animasi tempatan dengan bajet termahal lebih RM10 juta. Cabaran kami adalah daripada segi kekangan bajet. Ini kerana kami tiada pelabur cuma dana dalaman dan pinjaman,” katanya ditemui di majlis tayangan perdana antarabangsa filem berkenaan di sini, malam ini.

Filem yang mengambil masa empat tahun untuk disiapkan itu menggunakan kru dan tenaga produksi tempatan sepenuhnya termasuk pelajar KRU Academy.

Tidak mahu filem terbabit dibandingkan dengan filem animasi terbitan Disney Pixar, Cars, Norman menganggap Wheely menggunakan idea asal dengan jalan cerita berbeza.

“Ada lapan orang pelajar KRU Academy yang terbabit dalam pembikinan filem ini. Mereka dibantu hampir 100 tenaga kerja belakang tabir bagi menghidupkan animasi ini.

“Kalau orang membuat persamaan dengan filem Cars, ia suatu kejayaan buat kami. Tetapi jika dibandingkan dalam aspek keaslian cerita dan gambaran, ia jelas 100 peratus berbeza dengan kandungan yang berlainan.

“Tak adil kalau kami dianggap mengambil hak cipta filem luar. Ini kerana apa yang kami hasilkan berteraskan idea asal. Malah, kami turut daftarkan filem ini bawah hak cipta sendiri,” katanya.

Filem animasi yang dijayakan Zizan Razak, Lisa Surihani dan Johan Raja Lawak ini mengisahkan mengenai sebuah kereta bernama Wheely yang bangkit daripada kekalahan dalam perlumbaan kereta. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.