Bila Kerajaan PH Nak Tunai Janji Hapus Hutang Peneroka FELDA?

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa memberikan penjelasan lanjut mengenai janji untuk menghapuskan hutang peneroka sebagaimana termaktub dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Gesaan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kecewa de­ngan sikap kerajaan kerana masih membisu mengenai janji tersebut.

Hal ini kerana, Naib Presiden UMNO itu percaya bahawa ramai peneroka mengundi PH kerana `termakan’ dengan janji penghapusan hutang itu.

“Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) perlu menjawab apakah hutang peneroka akan dihapuskan? Jika ya, apakah semua hutang atau sebahagian daripada hutang?

“Apakah jenis hutang-hutang dan bila akan dihapuskan?” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri dalam pada itu berpendapat hutang-hutang pe­neroka tidak akan dihapuskan selepas melihat kepada penjelasan mengenainya dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

“Samalah seperti pengundi di Sabah dan Sarawak yang tertipu dengan janji royalti minyak 20 peratus daripada pendapatan kasar hasil minyak sedangkan PH membuat definisi sendiri seba­nyak 20 peratus daripada keuntungan bersih,” jelas beliau.

Selain itu, beliau turut menzahirkan rasa kecewa berikutan kegagalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab isu Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan mengelak daripada celahan isu Felda pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Sedangkan, kata Ismail Sabri, isu berkaitan Mara sangat dekat dengan hati orang Melayu serta bumiputera.

“Isu memecahkan fungsi-fungsi Mara dengan meletakkannya di bawah beberapa kementerian langsung tidak mendapat maklum balas daripada menteri,” ujar beliau. – UTUSAN

One thought on “Bila Kerajaan PH Nak Tunai Janji Hapus Hutang Peneroka FELDA?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.