Anwar Akui Ada Menteri Cuai, Mulut Celupar Punca Pelbagai Kontroversi

KLANG – Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan barisan jemaah kabinet ada mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang akhirnya mengundang kontroversi.

Namun beliau memberi jaminan kerajaan persekutuan yang ditubuhkan daripada kemenangan PH pada tetap berada pada landasan yang betul.

“Perdana Menteri Tun Mahathir dan kabinet kerajaan tidak lari dari landasan ada kenyataan-kenyataan yang mengelirukan, saya tidak nafikan tetapi Perdana Menteri dan kerajaan tidak lari daripada prinsip yang kita jadikan sebagai perjuangan landasan,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Khas bersama Anwar Ibrahim di Jalan Kebun sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis malam semalam.

Anwar juga tidak menafikan kenyataan yang dikeluarkan pimpinan PH bersifat celupar akibat kecuaian yang baharu sahaja memerintah selama dua bulan.

“Saya akui Pakatan Harapan ini kerajaan baharu, kadang-kadang ada kenyataan-kenyataan yang cuai dan celupar dari tokoh-tokohnya,” tambahnya.

Beliau berkata demikian tatkala Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran menjadi perhatian dan menerima kecaman teruk apabila menyifatkan kaum Melayu sebagai pendatang.

Anwar selain itu menegaskan, memartabatkan agama Islam dan menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagai salah satu perkara yang diperjuangkan oleh PH.

Perubahan tampuk pemerintahan tambah beliau sama sekali tidak boleh menjejaskan kedudukan bahasa Melayu.

“Kita tidak boleh tingkatkan maruah Islam dengan tunjuk kita ini zalim dan angkuh dan sombong, hina kaum-kaum yang lain, ini beza kita dengan Barisan Nasional (BN).

“Tapi saya nak ingatkan Pakatan Harapan itu ditegakkan dengan perjanjian yang jelas, memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan tidak ada tolak ansur tentang perkara itu. Bahasa Melayu bahasa kebangsaan.

“Buatlah apa-apa perubahan pun. Bahasa Inggeris ke, Cina ke Tamil ke, Perancis ke semua itu boleh tetapi mesti tunduk kepada kerangka bahasa kebangsaan.

“Ada yang berpendapat dengan ada bahasa kebangsaan tidak boleh memartabatkan bahasa inggeris, bahasa Cina atau Tamil saya tidak setuju yang kita mahu bahasa kebangsaan itu dikuasai dengan baik oleh semua,”jelas beliau yang hadir dalam keadaan tangan berbalut selepas menerima rawatan hospital tempohari.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik juga menjadi tumpuan apabila mengeluarkan kenyataan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Kecaman terhadap perkara itu antara lain datang atas faktor kebimbangan bahasa Melayu bakal terjejas. – MalaysiaGazette

One thought on “Anwar Akui Ada Menteri Cuai, Mulut Celupar Punca Pelbagai Kontroversi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.