RISDA Bentang Kertas Cadangan Penanaman Ketum Rabu Ini

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan membentangkan kertas cadangan mengenai penanaman pokok ketum Rabu ini.

 

Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, pihaknya akan meneliti secara holistik cadangan tersebut sebelum diluluskan.

 

 

Datuk Seri Ismail menjelaskan, sekiranya cadangan tersebut lebih kepada kemudaratan, rancangan itu tidak perlu diteruskan.

 

 

“Walau bagaimanapun saya belum membuat keputusan kerana perlu berlaku adil kepada RISDA supaya dibentangkan pada Rabu.

 

 

“Walau apa pun yang berlaku, pandangan rakyat itu menjadi keutamaan, selain dari kita mesti hormati pandangan KDN, KKM dan negeri-negeri. Sebab kita hendak tanam dalam negeri mereka kita tidak boleh tidak pedulikan pandangan mereka,” katanya yang ditemui Astro AWANI hari ini.

 

 

Meskipun mengakui daun ketum mempunyai kebaikan tersendiri, namun tegas beliau, suara rakyat menjadi keutamaan pihaknya.

 

 

Beliau mengulas mengenai cadangan RISDA agar kerajaan menimbang membenarkan pekebun kecil menanam ketum kerana potensi daun berkenaan dalam sektor perubatan dalam pasaran antarabangsa.

 
RISDA minggu lalu mencadangkan untuk mengusahakan projek perintis di negeri-negeri di utara Semenanjung sebelum dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara selepas bekalan ketum mendapat permintaan tinggi daripada farmasi di Amerika Syarikat dan Eropah.-Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.