Tom Cruise Lakonkan Sendiri Aksi Lagak Ngeri

HAMPIR dua dekad sejak filem pertama Mission Impossible ditayangkan, filem kelima dalam siri aksi itu berjudul Mission: Impossible – Rogue Nationsudah menemui peminat sejak 30 Julai.

 

Ia juga sekuel secara langsung daripada filemMission Impossible – The Ghost Protocol  yang ditayangkan pada 2011.

 

Rogue Nation diarahkan oleh Christopher McQuarrie yang cukup sinonim dengan kolaborasi bersama Tom Cruise menerusi filem-filem seperti Valkyrie,Jack Reacher dan Edge of Tomorrow.

 

Latar ceritanya bermula apabila organisasi penyiasatan IMF dibubarkan. Ethan Hunt (dilakonkan oleh Tom Cruise) perlu berdepan ancaman sebuah kumpulan yang dianggotai rangkaian agen khas berkemahiran tinggi, dipanggil Syndicate.

 

Syndicate menyasarkan barisan penyiasat ‘new world order’ menerusi pelbagai siri serangan keganasan di seluruh dunia.

 

Ethan mengumpulkan semula pasukannya Benji Dunn (Simon Pegg), Luther Stickell (Ving Rhames) dan William Brandt (Jeremy Renner) bersama-sama seorang bekas ejen British, Ilsa Faust (Rebecca Ferguson) bagi menghalang sekaligus menumpaskan Syndicate.

 

Berbekalkan bajet besar AS$150 juta (RM575 juta), proses pengambaran bermula pada Ogos 2014 di pelbagai lokasi menarik seperti Austria, Maghribi, London dan Monaco.

 

Filem aksi berdurasi 131 minit ini dibarisi senarai pelakon hebat dari filem-filem terdahulu selain menampilkan Sean Harris sebagai watak antagonis Solomon Lane dengan penampilan Alec Baldwin yang melakonkan watak pengarah CIA, Alan Hunley.

 

Ia menjadi sesuatu yang sukar bagi penulis skrip untuk mempersembahkan jalan cerita yang memenuhi kehendak penonton lantaran lambakan filem perisikan dan cereka aksi memenuhi slot tayangan sepanjang tahun.

 

Christopher dan Drew Pearce berjaya mengolah hala tuju filem agar menampilkan kelainan dan tidak dibayangi oleh filem-filem terdahulunya. Olahan cerita yang padat dipadu dengan perkembangan karekter secara menyeluruh dilihat sebagai formula berterusan dari filem pendahulunya.

 

Pujian juga harus diberikan kepada Tom dan Simon yang melakonkan sendiri kesemua aksi lagak ngeri watak mereka. Tom dilaporkan cedera sebanyak enam kali semasa proses penggambaran sedang berjalan.

 

Adegan di mana Ethan berpaut pada badan kapal terbang yang sedang berlepas, dilakonkan sendiri oleh Tom tanpa sebaraang bantuan kesan khas mahupun pelakon ganti lagak ngeri.

 

Jessica Chastain merupakan pilihan pertama untuk watak wanita utama, namun beliau tidak mengemari jadual latihan persiapan selama enam bulan lamanya. Rebecca Ferguson menjadi pilihan kedua pihak studio lantaran Tom dan Christopher menggemari lakonannya dalam siri BBC, The White Queen.

 

Namun begitu Mission: Impossible – Rogue Nation boleh dianggap sebagai salah satu contoh baik buat filem genre aksi perisikan dengan beberapa babak yang pastinya tidak dapat dilupakan.

 

Penggemar siri ini pastinya bersetuju sekiranya filem ini merupakan gabungan elemen-elemen terbaik dari filem pertamanya serta Ghost Protocol lalu diterjemah sebagai sebuah sekuel yang masih releven dan berjaya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.