Tiga Ditahan Termasuk Individu Bergelar ‘Tan Sri’

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga individu, termasuk seorang lelaki berpangkat ‘Tan Sri’ iaitu bekas Ahli Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan berbaur fitnah oleh Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dua lagi adalah seorang wanita, yang bertugas sebagai ahli Sekretariat Kewangan dan Pentadbiran Amla (Special Task Force) Jabatan Peguam Negara dan seorang lelaki, yang bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya SPRM yang dipinjamkan dari Jabatan Peguam Negara.

 

Beliau berkata ketiga-tiga mereka ditahan awal pagi semalam.

 

“Pihak polis telah merakam percakapan ketiga-tiga mereka berhubung laporan berbaur fitnah yang dibuat oleh Clare Rewcastle Brown, Pengarang Sarawak Report tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata siasatan polis turut menjurus kepada isu kebocoran maklumat rasmi kerajaan, yang disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

 

Khalid berkata beberapa pegawai dari Bank Negara Malaysia dan bank komersial akan turut dipanggil untuk membantu siasatan polis.

 

Katanya, polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.