Tengku Abdullah Minta KAFA Kaji Semula Cadangan Tarik Diri

MARAN – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) perlu mengkaji semula hasrat menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) kerana ia akan memberi kesan negatif kepada pasukan mereka.

 

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, walaupun itu adalah hak persatuan berkenaan, tindakan itu hanya akan merugikan skuad The Red Warriors (TRW) dan pemainnya.

 

“Saya sendiri terkejut apabila membacanya di akhbar dan berharap soal nak tarik diri ini dapat ditarik balik,” katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Kementerian Sumber Manusia dan warga Parlimen Maran di Arena Tengku Muda Pahang, di sini, semalam.

 

Tengku Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang membayangkan untuk menarik diri daripada Liga M kerana tidak mampu menampung perbelanjaan pengurusan.

 

Tindakan itu dipercayai berkait dengan keputusan FAM yang mengarahkan KAFA menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM636,000 kepada bekas jurulatihnya, Steve Darby, baru-baru ini.

 

Selain itu, Annuar turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan FAM yang dikatakan masih kekal dengan budaya mengenakan denda ratusan ribu sedangkan pada masa sama, persatuan negeri terpaksa berhempas-pulas mendapatkan dana.

 

Mengulas perkara itu, Tengku Abdullah berkata, semua tindakan yang dilakukan FAM adalah mengikut peraturan yang dipersetujui Kongres FAM sebelum ini.

 

“Ini semua peraturan yang dipersetujui Kongres FAM, kita bertindak berlandaskan peraturan dalam FAM dan kalau ia di luar peraturan saya sendiri tidak bersetuju.

 

“Jadi saya harap kita sama-sama perbetulkan perselisihan faham ini terutama dalam suasana Syawal ini dan buatlah rayuan untuk dipertimbangkan, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan,” katanya. -BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.