Melaka Perlu Ambil Peluang Hubungan Dengan Guangdong – Najib

MELAKA – Melaka perlu mengambil pelbagai peluang ekonomi yang wujud hasil hubungannya dengan Guangdong di China bagi memakmurkan lagi ekonomi negeri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Beliau percaya menerusi hubungannya dengan Guangdong, Melaka mampu meningkatkan lagi ekonomi negeri, terutama dalam sektor pelaburan, perdagangan dan pelancongan.

 

“Peluang itu perlu diambil kerana 25 peratus perdagangan dengan negara China disumbangkan oleh wilayah itu. Jika Melaka mengambil peluang ini, ia boleh meningkatkan ekonomi negeri dalam pelbagai sektor.

 

“Kabinet telah meluluskan hubungan ini dan akan memeterainya tidak lama lagi,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Bandar Hilir di sini, Sabtu.

 

Najib berkata dengan pertambahan pelancong ke negeri ini khususnya hasil hubungan erat dengan Guangdong, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini mampu berkembang sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa sepenuhnya.

 

“Lapangan terbang itu mempunyai potensi amat besar yang boleh merancakkan kedatangan pelancong ke negeri ini,” katanya.

 

Pada masa ini Malindo Air, satu-satunya syarikat penerbangan yang beroperasi di LTAM, menawarkan penerbangan ke Kota Bharu, Pulau Pinang di Pekan Baru di Indonesia.

 

Kerajaan Negeri Melaka sedang berbincang dengan syarikat penerbangan dari China bagi menyediakan penerbangan terus dari LTAM ke Guangdong. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.