Viva Palestina Dan Aqsa Syarif Anjur Himpunan ‘Selamatkan Anak-anak Gaza’

Kuala Lumpur – Kira-kira 10,000 peserta dijangka akan membanjiri Dataran Merdeka esok (Sabtu) bagi menyertai perhimpunan aman ‘Selamatkan Anak-anak Gaza’ anjuran Viva Palestina dan Aqsa Syarif.

Perhimpunan tersebut bertujuan untuk menyatakan sokongan terhadap penduduk Gaza serta mengecam tindakan serangan Zionis terhadap warga Palestin di semenanjung itu.

Menurut wakil Viva Palestina, Shida Shahnan, perhimpunan tersebut adalah bagi menunjukkan soladiriti kepada penduduk Gaza dan mereka mengajak seluruh rakyat Malaysia menyertainya.

“Jika anda seorang insan, datanglah ke perhimpunan ini untuk menyatakan solidariti. Iaitu solidariti kepada Palestin dan mengutuk tindakan rejim Zionis.

“Ia lebih kepada solidariti dari insan kepada insan lain,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Shida yang merupakan ahli jawatankuasa Viva Palestina berkata, pada mulanya pihaknya tidak merancang untuk menganjurkan perhimpunan tersebut, namun setelah menyaksikan serangan Israel semakin teruk apatah lagi ketika Hari Raya, mereka berkeputusan untuk mengadakannya.

“Melihat suasana (serangan) di Gaza, kami kehilangan mood untuk menyambut Aidilfitri. Jadi kami berkeputusan untuk menganjurkan protes ini yang dibuat secara ad hoc,” jelasnya.

Menurut Shida, perhimpunan ini adalah berdasarkan tujuan kemanusiaan dan bukanlah sebuah perhimpunan keagamaaan seperti yang biasa diadakan selepas solat Jumaat.

“Sebab itulah kami memilih tema ‘Selamatkan Anak-anak Gaza’… sebab kami mahu ia neutral dan bukan sebuah program keagamaan.

“Kanak-kanak mampu menyentuh hati kita. Semua bangsa tidak kira agama atau kepercayaan harus hadir ke perhimpunan ini. Kami mahu semua rakyat Malaysia menyatakan suara mereka pada perhimpunan itu nanti,” katanya.

Katanya setakat ini Malaysia masih belum mengadakan sebarang protes besar-besaran terhadap serangan Israel ini seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain di dunia.

Selain Aqsa Syarif yang menjadi penganjur bersama, katanya perhimpunan ini juga bakal disertai oleh Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), wakil pemuda-pemuda Kristian, persatuan antara agama dan Mothers of Malaysia.

Antara aturan program pada hari tersebut termasuk ‘flash mob’, ucapan dan juga paparan 1,000 belon bagi menandakan 1,000 penduduk Gaza yang terkorban dalam serangan.

Bagi permit pula, katanya pihak polis telah pun memberi kebenaran dan juga kebenaran bersurat daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jelas Shida lagi, pihaknya juga meminta peserta agar tidak menggunakan kata-kata atau laungan kesat semasa perhimpunan.

Selain itu, sebagai pengganti sesi doa, peserta akan diberi masa untuk diam selama dua minit supaya mereka dapat berdoa mengikut agama masing-masing.

Tambahnya, pihaknya juga telah menyebarkan program perhimpunan ini menerusi media-media sosial seperti Facebook dan Twitter, selain laman-laman web dan blog.

Perhimpunan ‘Selamatkan Anak-anak Gaza’ ini akan di Dataran Merdeka pada Sabtu, 2 Ogos 2014 jam 2 petang hingga 4.30 petang, dan rakyat Malaysia atau yang berada di Malaysia dijemput hadir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.