Pakatan Sedang Usaha Cari Calon Alternatif, Ganti Azizah

Kuala Lumpur Pakatan Rakyat (PR) sedang berusaha mencari calon alternatif kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi jawatan menteri besar Selangor, dedah seorang pemimpin tertinggi, satu langkah dilihat untuk memuaskan hati semua pihak.

Seorang pemimpin PKR sudah dikenal pasti tetapi tidak boleh dinamakan sehingga konsensus dicapai di antara PKR, DAP dan PAS.

Memetik laporan Malaysian Insider, nama Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali turut dicadangkan tetapi ditolak oleh kebanyakan pemimpin PAS.

“Calon ketiga haruslah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang yang boleh diterima MB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” kata sumber dan menambah, rekod pencapaian yang baik juga diambil kira.

Mata tertumpu kepada Adun Melayu-Islam PKR Selangor yang dilihat rapat dengan Anwar.

Bagaimanapun sumber mendedahkan, Anwar yang juga ketua umum PKR tidak dapat menerima calon alternatif untuk jawatan menteri besar Selangor kerana masih memegang keputusan majlis pimpinan tertinggi parti untuk menggantikan Khalid dengan isterinya, Dr Wan Azizah.

“Namun, ini satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu dalam keadaan baik dan memenuhi kriteria ditetapkan iaitu dia haruslah daripada PKR, diterima Khalid dan juga Pakatan,” kata sumber itu lagi.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan jika Khalid digantikan, ia mestilah daripada PKR dan bukan PAS.

Krisis menteri besar Selangor menimbulkan pergolakan dalam PR selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong secara terbuka agar Khalid kekal sebagai menteri besar sebelum parti itu berbincang pada 10 Ogos sama ada mahu menyokong Dr Wan Azizah atau tidak.

Krisis bertambah buruk apabila perbincangan mesej kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu keluar PR tersebar.

Perbincangan WhatsApp itu mendedahkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencadangkan kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.

PAS sendiri berpecah dalam isu menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah kerana dua sebab: beliau seorang wanita yang menyebabkan beberapa pemimpin negeri tidak selesa dan beliau tidak boleh membuat keputusan kerana Anwar adalah suaminya.

Semalam Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meminta semua parti politik menyatakan pendirian mereka sama ada wanita boleh dilantik sebagai menteri besar sebelum bercakap tentang menggantikan ketua eksekutif Selangor.

“Janganlah kita hilang tumpuan dengan cadangan menukar menteri besar. Isu utama yang perlu diselesaikan, seperti dikatakan Anwar Ibrahim adalah tentangan terhadap wanita dilantik untuk jawatan tersebut.

“Ia amat penting bagi semua parti politik menjelaskan halangan jantina ini… jika tidak, kita akan memperlihatkan seolah-olah Dr Wan Azizah tersingkir daripada kelayakan hanya kerana beliau seorang wanita,” katanya di Pulau Pinang semalam.

Lim sebelum ini memberi amaran PR mungkin berpecah jika parti komponen mengenepikan keputusan yang sudah dicapai bersama.

Khalid sebelum ini sudah memberikan indikasi dalam beberapa pertemuan di antaranya dan pemimpin PR, beliau tidak akan berundur sekiranya Azmin menjadi penggantinya.

Sokongan Khalid penting untuk memastikan beliau berundur secara terhormat tanpa memerlukan proses undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.