MH17: Mesyuarat Khas Minggu Depan

Batu Pahat – Kerajaan dijangka mengadakan mesyuarat khas bagi menyelaras proses membawa pulang dan pengebumian mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, pada minggu depan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, mesyuarat itu akan diadakan sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pulang dari Amsterdam, Belanda dalam usaha memastikan proses memberi penghormatan negara kepada kesemua rakyat Malaysia yang terkorban berjalan lancar.

“Mesyuarat itu akan membabitkan beberapa kementerian antaranya Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pengangkutan sendiri.

“Kerajaan akan membuat persiapan untuk menyambut jenazah-jenazah tersebut dengan penghormatan daripada kerajaan.

“Penghormatan negara diberikan kerana kejadian ini adalah yang pertama berlaku kepada negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata beliau dimaklumkan jenazah-jenazah ini akan dibawa pulang secara serentak dan dihantar ke kampung masing-masing untuk disemadikan.

Beliau berkata kos penghantaran pulang (sehingga ke kampung halaman) akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Kita akan menyambut (jenazah-jenazah) ini secara terhormat. Kita mahu melahirkan kesedihan kita atas tragedi tersebut kerana ini tragedi pertama di mana pesawat kebangsaan kita ditembak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Abdul Aziz.

Sementara itu, kerajaan dilaporkan akan mengumumkan tarikh penghantaran pulang jenazah dalam tempoh dua minggu.

Ini adalah antara keputusan yang dicapai semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Netherlands baru-baru ini.

Berikutan penetapan tempoh itu, perdana menteri turut mengumumkan hari berkabung negara selama sehari, yang pertama kali upacara seumpamanya diadakan, sebaik sahaja mayat mangsa nahas itu tiba di tanah air nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.