Dalam Dunia DAP, Menghina Agama Tidak Salah – KJ

Petaling Jaya – Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin tidak berpuas hati berhubung kenyataan balas daripada Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang menuduh Khairy mengapi-apikan keadaan dan masyarakat hanya perlu belajar untuk ketawakan kemudian lupakan sahaja kes Kelvin Yip yang menghina sambutan Hari Raya dengan bahasa yang kotor.

“Oh, mungkin dalam dunia DAP komen yang menghina agama itu bukan kesalahan. Hanya perlu ketawakan sahaja kebodohan itu,” sindirnya di laman Facebooknya.

Khairy juga sudah menjangkakan akan menerima komen yang negatif daripada beberapa pihak yang tidak senang beliau membandingkan kes Kelvin Yip dengan Kiki yang dihukum kerana menjadi pembuli jalan raya.

“Perbandingan saya buat antara Kiki dan Kelvin bukan pada jenis kesalahan tetapi dari segi penguatkuasaan undang-undang.

“Walaupun kes berbeza, kedua-dua Kiki dan Kelvin telah menjadi isu ‘public interest’ atau kepentingan umum.

“Jika kedua-dua disyaki melanggar undang-undang, kita nak melihat tindakan yang pantas dan cepat. Perbandingannya di situ, bukan dari sudut jenis kesalahan,” jelasnya.

“Jika Malaysia ingin terus menjaga keharmonian dan sensitiviti kaum, tindakan (penguatkuasaan undang-undang) yang adil dan tegas harus dilaksanakan dan bukannya hanya ditangani dengan nasihat ‘Chill lah’, ‘Just laugh it off’.

“Satu lagi, kes Kelvin ini bukan lesen untuk mana-mana pihak buat komen yang rasis kepada mana-mana kaum. Jangan dia (Steven) pula jadi Kelvin,” ujarnya.

Sebelum itu, Steven berkata Khairy telah mencuba meniupkan isu perkauman selepas membuat kenyataannya berhubung isu Kelvin Yip yang menghina sambutan Hari Raya.

Steven tidak setuju dengan kenyataan Khairy kerana beliau melihat dua kes ini adalah berbeza kerana Kiki dengan kesalahannya merosakkan harta di jalan raya dan Kelvin dengan kenyataan perkauman dalam Facebook.

Katanya lagi, saban hari masyarakat kita menjadi semakin tegang dengan isu-isu perkauman dari isu Kiki, Shahul Hamid dan Kelvin Yip.

“Pemimpin bukan mencuba untuk meleraikan ketegangan dan mengasuh kepada keharmonian tetapi malah mengapi-apikan lagi dan menjadikan keadaan semakin tegang,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.