Apabila PAS Rasa Tiada Kasih Sayang Dalam Pakatan…

[ULASAN] Sekurang-kurangnya ada tiga faktor yang boleh mengikat dan mengukuh perpaduan sesama insan. Pertama, kebencian dan kedua ketakutan pada sesuatu unsur yang dianggap musuh bersama. Ketiga ialah, rasa kasih atau mahabbah sesama sendiri.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS sejak enam tahun lalu berjaya mengikat kesepaduan sesama mereka dengan menggunakan dua faktor utama – kebencian dan ketakutan – untuk menggugat monopoli kuasa Barisan Nasional.

Bagaimanapun ia kini terkial-kial mahu memaksakan supaya rasa kasih sayang di antara sesama mereka terbit untuk menyubur dan memperkasa perpaduan politik mereka tanpa ada kecurigaan terhadap keikhlasan di antara satu sama lain.

Malangnya, kini kecurigaan di antara ketiga-tiga parti politik itu juga nampaknya mula merebak dari pusar pertelingkahan – isu kerusi Menteri Besar Selangor – hingga menjadi perang sindir menyindir dan ajuk merajuk hingga ke Kedah.

Memang benar kata bijak pandai bahawa insan yang kurang kasih sayang akan juga akan mudah hilang pertimbangan kesopanan dan bersikap “hati kering” dalam usaha untuk menjaga maruah dan air muka pihak lain. Inilah nampaknya sedang berlaku pada Pakatan Rakyat.

 

PKR, DAP, PAS mula buka pekung di dada

Daripada isu saling tidak setuju sama ada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim harus digantikan dengan presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail atau tidak, ia menjadi kegiatan politik untuk “mendedahkan pekung politik di dada” masing-masing.

PKR bingkas menuduh PAS khianat terhadap perjuangan Pakatan Rakyat apabila bersikap rasis dan mencampuri hal ehwal rumahtangganya. DAP turut “tumpang sekaki” dengan membuat ramalan kepetualangan PAS yang mencongak untuk berkerjasama dengan Umno akan memusnahkan PAS sama sekali di Selangor.

Sebaliknya, PAS kali ini memecah kelazimannya – tidak mahu membongkar cemar pihak yang kurang disenanginya. Kali ini secara terbuka PAS Kedah tampil menuduh PKR tidak kenang budi, malah bersikap membuli.

Insiden krisis politik PKR di Kedah dilondehkan pada umum. PAS Kedah bertindak demikian apabila PKR mendakwa ia pernah bersikap budiman tidak mencampuri urusan krisis politik PAS di negeri itu apabila ada ahli PAS sendiri mahu Menteri Besar Kedah, Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak digantikan sebelum Pilihan Raya Umum tahun lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan mengapa PAS kini mencampuri urusan PKR mahu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor?

 

Sindir menyindir antara PAS, PKR dan DAP semakin menjadi-jadi

Maka bermulalah perang sindir menyindir dari pihak Penerangan PAS Kedah yang mendedahkan pengorbanannya membantu menutup “aib politik PKR” yang menghadapi wakil-wakil rakyatnya yang tidak amanah dan keluar parti. Ini semua dilakukan dengan ikhlas dan secara tersembunyi.

Namun dalam kes krisis Menteri Besar Selangor, PAS berasa terpanggil untuk memberi pembelaan kepada Khalid Ibrahim yang dianggap “tiada skandal dan dosa politik seperti salahguna kuasa dan wang rakyat”.

Tambahan pula, kata PAS Kedah, dalam krisis Kedah Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (ADUN) dari PKR hanya berjumlah lima orang sahaja. Ini amat berbeza dengan status quo di Selangor di mana jumlah ADUN PAS ada 15 berbanding ADUN PKR yang cuma 14 orang.

Seolah-olah tidak mahu isu itu mati di situ, Penerangan PKR Kedah pula meremehkan pengorbanan politik PAS Kedah sebagai sebuah kisah “fisyen politik” untuk menampakkan kebudiman PAS sahaja.

Serentak itu, PAS juga membidas DAP bahawa jika ia dituduh curang atau pengkhianat kerana membincangkan opsyen politiknya dalam krisis Menteri Besar Selangor yang termasuk menimbang kemungkinan bekerjasama dengan Umno, tidakkah DAP juga boleh dianggap tidak jujur pada Pakatan Rakyat kerana mahu membuat pilihan meninggalkan pakatan itu jika PAS mahu terus mahu laksana hudud di Kelantan?

 

Anwar masih mahu tegak benang yang basah

Yang agak aneh dalam keadaan berkecamuk ini ialah apabila Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba meredakan keadaan dengan membuat kenyataan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan berpecah kerana isu Menteri Besar Selangor.

Kenyataan ini agak simplistik. Anwar sendiri tahu bahawa langkah PKR mahu menggantikan Khalid dengan isterinya, Wan Azizah bukanlah keputusan sebulat suara dalam partinya. Sekurang-kurangnya ada dua pemimpin PKR yang bangun tidak menyokong usul yang diumumkan tengah malam 23 Ramadan lalu.

Dengan kedegilan Anwar mahu menyusun politik Pakatan Rakyat menurut firasatnya dan ketegasan Khalid mahu terus memberi gambaran beliau adalah mangsa permainan politik Anwar dengan melobi sokongan pemimpin-pemimpin PAS, rakyat dan penyokong Pakatan Rakyat bingung dibuatnya.

Namun yang agak nyata ialah kali ini alasan yang sering digunakan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat setiap kali musibah melanda pakatan itu bahawa ia semestinya “kerja Umno”, tidaklah dikumandangkan.

Mungkin ini kerana baik PAS, mahupun PKR dan DAP kini agak sibuk mengumpul dan menyebar bahan politik untuk memburukkan kawan-kawan politik sendiri.

Rakyat tahu bahawa kini Pakatan Rakyat sudah sampai di persimpangan jalan politiknya. Bolehkah sebuah parti Islam seperti PAS terus “beralah” untuk menangguhkan hukum hakam Islam hanya kerana mahu menjaga hati DAP?

 

PAS mula cari jawapan pada segala persoalannya yang membelenggu parti itu

PAS juga sentiasa tertanya-tanya mengapa ia harus terus berdiam diri apabila umat Islam bangkit untuk menzahirkan keimanan mereka akan kebesaran zat Allah yang dibariskan sama dengan Tuhan Nasrani dalam kitab bible?

Ramai pemimpin dan penyokong PAS juga cuba menekan perasaan bahawa ia perlu terus memendam naluri keimanan mereka hanya kerana mahu “terus menyemarakkan kebencian sesama umat Islam” sementara menanti impian berkuasa di bumi ini menjadi kenyataan?

Agak mengerikan juga apabila PAS sedar bahawa agak mustahil rasa mahabah akan terbit dalam jiwa PKR dan DAP hanya kerana didorong oleh rasa benci pada Umno yang rata-rata didokong oleh umat Islam sendiri.

Bagi yang ikhlas dalam PAS tentu ada kemusykilan dalam jiwa mereka — bolehkan mereka mempercayai budaya politik dalam PKR yang sering menebarkan fitnah sesama sendiri dan tidak mampu mengendalikan nafsu untuk berkuasa dalam parti dengan menggunakan taktik kotor seperti budaya samseng dan rasuah?

PAS juga pasti akan mempersoalkan mengapa ia harus terus “menikus” dalam jihadnya untuk menegakkan sebuah daulah Islamiah semata-mata dikekang oleh Buku Jingga dan bukan al Quran, kalam Allah

Lantas, mungkin naluri ini yang mendorong Presiden PAS bangkit untuk mempertahankan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sebagai satu simbol bahawa ia tetap peka dan berani menentang “kezaliman” walaupun di lakukan oleh rakan politik sendiri!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.