KUALA LUMPUR, 2 Julai 2025 – Persembahan eksklusif Janji With Dayang mencatat kejayaan luar biasa apabila semua kategori tiket habis terjual dalam masa yang sangat singkat sebaik jualan dibuka kepada umum pada jam 12 tengahari tadi.
Konsert yang bakal berlangsung di dua lokasi utama Penang dan Kuala Lumpur menyaksikan sambutan hangat daripada para peminat penyanyi tersohor negara, Dayang Nurfaizah. Persembahan ini dijangka membawa penonton menyelusuri pengalaman muzik yang penuh emosi dan magis, sebagaimana yang sinonim dengan nama besar Dayang di persada seni tanah air.
Penganjur, Usanita Entertainment dan Mask Team, meluahkan rasa terharu dan terima kasih atas sokongan luar biasa yang diterima.
“Kami amat teruja melihat sambutan luar biasa ini dan kami sedang merancang untuk menambah tiket persembahan untuk kedua-dua lokasi. Nantikan pengumuman lanjut di media sosial,” ujar wakil penganjur.
Para peminat yang terlepas mendapatkan tiket dinasihatkan untuk terus mengikuti perkembangan terkini menerusi platform rasmi media sosial penganjur bagi sebarang pengumuman baharu mengenai penambahan tiket.
Konsert Janji With Dayang menjanjikan malam yang tidak dapat dilupakan buat semua pencinta muzik tanah air.