KUALA LUMPUR – Memandangkan keadaan ekonomi yang kian merdesak, lebih baik kerajaan tidak menguatkuasakan dasar tong gas tidak bersubsidi, kata Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.
Ujarnya, ini kerana bakal mencetus satu lagi gelombang inflasi, di mana para pengguna juga yang akan menanggung bebanan tambahan ini.
“Pusingan U terkini oleh kerajaan ini hanya berlaku kerana rakyat tegus mendesak walaupun saya dan MCA terus dikritik hebat dan dicaci.
“Tak apalah. Perkara ini disuarakan berulang kali di media dan secara meluas dan secara terus kepada kementerian berkaitan. Ini contoh jelas apa yang boleh dicapai melalui ketegasan dan tekanan berterusan.
“MCA akan terus bersuara, berjuang sehingga dasar yang adil dilaksanakan bukan sahaja kepada peniaga kerja, tetapi kepada semua yang menyediakan makanan kepada rakyat Malaysia. Pendek kata, kita tak perlu nak bazir masa. Tak perlu nak bebankan rakyat lagi.
“Seperti mana yang saya sudah beritahu awal-awal lagi, tak perlu nak ubah akta undang-undang. Menteri ubah saja peraturan kerana kuasa itu memang ada dalam akta dan diturunkan kepada menteri,” tegas Ka Siong.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan dan minuman masih boleh menggunakan silinder gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, selagi mereka menawarkan harga jualan berpatutan kepada pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali baru-baru ini berkata, pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 akan mempertimbangkan keperluan sebenar peniaga kecil berbeza dengan peraturan sedia ada yang mengehadkan penggunaan LPG bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa.
“Saya merujuk kepada kenyataan terbaru oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali bahawa peraturan tahun 2021 menghadkan peniaga kecil kepada 3 tong gas LPG bersubsidi saja.
“Walau bagaimanapun, tafsiran ini boleh dipertikaikan.Menurut peraturan tahun 2021, tedapat had 3 tong gas LPG sebelum pengguna perlu membuat permohonan tetapi tidak dinyatakan sama ada tong gas bersubsidi atau komersial selepas had 3 tahun tersebut.
“Akan tetapi, sejak peraturan ini diwartakan pada tahun 2021, ia tidak dikuatkuasakan. Semua ini sebenarnya tertakluk kepada budi pecara penguatkuasaan kerajaan. Mereka yang tentukan ia dikuatkuasakan atau sebaliknya.
“Apa-apa pun, kita bersyukur kerana Menteri telah membuat keputusan dan kenyataan mengecualikan peniaga kecil daripada peraturan ini dan mereka yang menawarkan harga makanan berpatutan akan terus menerima gas bersubsidi.
“Walaupun perubahan dasar ini merupakan satu langkah kearah yang betul, tapi masih tidak mencukupi. Justeru, kami menggesa kerajaan untuk memperluaskan pengecualian ini kepada semua peniaga makanan termasuk kedai mamak, kopitiam, kantin, kedai makan di seluruh negara,” gesa beliau.