Nilai keperluan perbelanjaan bulanan isi rumah indikator tambahan kos sara hidup -PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pembangunan indikator Kos Sara Hidup (KSH) sehingga ke peringkat daerah adalah sangat penting bagi melakukan penilaian semula pengukuran tahap kos sara hidup rakyat.

Ini memandangkan penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya mengukur perubahan harga serta tertakluk kepada penawaran dan permintaan bagi barangan dan perkhidmatan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan memutuskan supaya indikator KSH berdasarkan nilai keperluan perbelanjaan bulanan isi rumah diterbitkan bagi melengkapi indikator KSH sedia ada.

“Indikator baharu ini secara kolektif memberikan gambaran mengenai jumlah perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk memenuhi keperluan bagi kehidupan wajar seperti makanan dan minuman, pakaian, perumahan, kesihatan, pengangkutan,
pendidikan, komunikasi serta keperluan lain.

“Indikator ini disusun bagi mendapatkan perbezaan kos bagi harga barangan dan perkhidmatan yang diperolehi oleh isi rumah mengikut lokaliti.

“Selain itu, KSH boleh mengukur keupayaan individu berdasarkan sumber pendapatan yang diterima sama ada daripada gaji tetap, bekerja sendiri, pulangan daripada aset dan pelaburan serta pindahan semasa yang diterima sama ada daripada kerajaan, swasta atau individu lain,” kata Anwar di Dewan Rakyat waktu pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan, indikator KSH turut memperincikan corak perbelanjaan pengguna berdasarkan kepada keperluan, gaya hidup dan pilihan setempat serta ciri-ciri demografi seperti jantina, umur, etnik, status Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagainya.

Di samping itu kata beliau, KSH juga mengambil kira keperluan isi rumah mengikut bilangan ahli isi
rumah.

“Pembangunan indikator KSH menggunakan Poverty Line Income Modified (PLI – Modified) yang dibangunkan oleh International Labour Organisation (ILO) pada tahun 2021.

“Pendekatan ini berbeza jika dibandingkan dengan negara lain seperti Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat yang menggunakan kaedah Indeks Harga Pengguna.

“Melalui metodologi ini, perbelanjaan makanan dikira berdasarkan keperluan optimum diversified mengikut Saranan Pengambilan Nutrien (RNI 2023), Panduan Diet Malaysia 2020 dan Piramid Makanan 2020 mengikut ciri-ciri isi rumah,” katanya.

Anwar berkata, pengiraan KSH bagi makanan ini turut mengambil kira item makanan siap yang dibeli di
luar rumah.

“Sementara itu, pembangunan indikator KSH bagi keperluan bukan makanan pula adalah berdasarkan perbelanjaan keperluan dan kehendak minimum yang membolehkan isi rumah menjalani kehidupan secara bermaruah.

“Pada peringkat negara ASEAN, kaedah ini turut diguna pakai oleh Indonesia dan Vietnam.

“Pengiraan indikator KSH disusun berdasarkan perbelanjaan isi rumah mengikut 12 kumpulan barangan dan perkhidmatan, iaitu mengikut kumpulan perbelanjaan seperti makanan dan minuman bukan alkohol; pakaian dan kasut; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api; hiasan, perkakasan dan penyelenggaran isi rumah; kesihatan; pengangkutan; maklumat dan komunikasi.

“Selain itu merangkumi, rekreasi, sukan dan kebudayaan; perkhidmatan pendidikan,;restoran dan perkhidmatan penginapan; insurans dan perkhidmatan kewangan; penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan,” jelas beliau.

Menurut Anwar, pengiraan indikator ini melibatkan 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, 162 daerah pentadbiran serta mengikut lokasi bandar dan luar bandar.

Katanya,Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur digunakan sebagai asas perbandingan relatif.

“Laporan indikator KSH akan turut memuatkan maklumat mengenai peratusan daripada peningkatan pendapatan yang dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan, iaitu Kecenderungan Mengguna Sut (Marginal Propensity to Consume – MPC).

“Di samping itu, Indeks Spatial juga akan dibangunkan bagi menggambarkan pariti kuasa beli (Purchasing Power Parity – PPP) mengikut daerah, manakala kajian terperinci berkaitan corak perbelanjaan dan gaya  hidup isi rumah mengikut kumpulan pendapatan akan turut dijalankan.

“Pada masa ini, indikator KSH sedang dalam peringkat akhir penyediaan untuk dimuktamadkan dan diumumkan pada awal November 2024,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat