Enam kertas kerja dipersetujui Majlis Mineral Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-3 (MMN Ke-3) telah membentangkan enam kertas kerja yang menyentuh beberapa dasar penting dan operasi berkaitan sektor mineral hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu mesyuarat itu antaranya berkaitan kerangka Dasar Mineral Negara yang baharu, tempoh kelulusan berkaitan aktiviti perlombongan dan pelaksanaan pengauditan kendiri dalam industri pengkuarian.

Menurutnya, secara keseluruhan kertas yang dibentang telah mendapat persetujuan di peringkat MMN.

“Antara perkara yang dipertimbangkan dalam mesyuarat pada kali ini adalah kertas berkaitan kerangka Dasar Mineral Negara 3 yang merupakan dasar baharu dibangunkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi memacu pembangunan industri mineral negara secara menyeluruh.

“Dasar ini akan menjadi panduan utama bagi menggantikan Dasar Mineral Negara 2 yang diguna pakai sejak tahun 2009,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya MMN turut bersetuju dengan cadangan Tempoh Minimum Kelulusan Pajakan Melombong Dan Lesen Melombong Tuan Punya Di Bawah Enakmen/ Ordinan Mineral Negeri.

“Cadangan ini merupakan langkah untuk mewujudkan persekitaran industri mineral yang kondusif dan menyokong perkembangan industri.

“Selain itu, ia juga boleh meningkatkan keharmonian antara pihak-pihak berkepentingan khususnya di peringkat Kerajaan Negeri dan pihak industri,” katanya.

Seterusnya, katanya MMN juga bersetuju dengan Cadangan Pelaksanaan Pengauditan Pematuhan Kendiri Setiap 6 Bulan Bagi Mewujudkan Industri Pengkuarian Yang Bertanggungjawab Dan Mampan.

“Inisiatif ini adalah sebagai langkah bagi mewujudkan industri pengkuarian negara yang mengamalkan prinsip bertanggungjawab dan mampan melalui pengauditan kendiri secara berkala berdasarkan kriteria yang telah dibangunkan.

“Dalam mesyuarat ini juga, MMN telah dimaklumkan mengenai perkara-perkara lain yang menyentuh bidang kuasa beberapa Kementerian / Jabatan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Kertas-kertas makluman yang dibentangkan adalah berkaitan Keselarasan Perancangan Pembangunan Perlombongan Dengan Rancangan Pemajuan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Kepentingan Membangunkan Teknologi dan Kepakaran Tempatan untuk Ekosistem Industri Bahan Termaju Unsur Nadir Bumi (REE) dan Penambahbaikan Tempoh Kebenaran dan Kelulusan Lesen Eksport Mineral Dan Bahan Batuan,” katanya x

Terdahulu, mesyuarat berlangsung di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

MMN Ke-3 telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Mesyuarat MMN Ke-3 terus kekal menjadi salah satu platform utama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri bagi membincangkan isu-isu dasar dan operasi berkaitan industri mineral dalam usaha untuk membangunkan industri ini secara bertanggung jawab dan mampan.

Hal ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memperkukuhkan kembali peranan industri mineral sebagai salah satu komponen penting kepada ekonomi negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat