Russia Langkah Ke Suku Akhir Selepas Singkir Sepanyol

MOSCOW – Russia melangkah ke suku akhir Piala Dunia di gelanggang sendiri dengan menyingkirkan juara 2010, Sepanyol menerusi penentuan penalti 4-3, malam tadi.

Penjaga gol Russia, Igor Akinfeev layak dilabel wira tuan rumah apabila menggagalkan dua sepakan Sepanyol menerusi Koke dan sepakan terakhir Iago Aspas.

Perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan apabila kedudukan kekal 1-1 berakhir 90 minit permainan dengan tiada jaringan terhasil ketika masa tambahan.

Sepanyol yang mendominasi sebahagian besar permainan mendahului seawal minit ke-12 apabila Sergei Ignashevich melakukan kesilapan menjaringkan gol ke gawang sendiri.

Begitupun, kedudukan itu kembali seimbang apabila pengadil menganugerahkan Russia penalti selepas pertahanannya, Gerard Pique memegang bola dalam kotak penalti.

Artem Dzyuba tidak melakukan kesilapan untuk menewaskan David De Gea pada minit ke-41.

Terdesak memburu jaringan, Sepanyol memasukkan pemain berpengalaman Andres Iniesta pada babak kedua tetapi ia masih gagal untuk menembusi pertahanan Russia yang dikawal ketat.

Situasi sama berulang ketika masa tambahan dengan Sepanyol tidak berjaya untuk menembusi pertahanan penuh berdisiplin Russia yang membawa ke penentuan penalti.

Sebagai rekod, Sepanyol sebelum ini pernah disingkirkan di Piala Dunia menerusi penentuan penalti pada 2002 di tangan Korea Selatan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.