Polis Indonesia Tangkap Jamal Yunos

INDONESIA – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang melarikan diri ke Indonesia akhirnya dicekup.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, beliau telah dimaklumkan penahanan tersebut pada jam 6.15 petang oleh pihak Polis Indonesia.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dihubungi untuk menyelaras urusan membawa beliau pulang ke Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pemerintah Republik Indonesia khususnya polis negara itu atas bantuan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 25 Mei lalu, Jamal, 48, yang sedang menjalani rawatan sakit belakang dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri sebelum disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.

Jamal yang juga merupakan Ketua Gerakan Baju Merah sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Jamal bagaimanapun mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.