Tertinggal Anak Saudara Di Masjid Ketika Dalam Perjalanan Ke Cameron Highlands  

GUA MUSANG – Sebuah keluarga yang dalam perjalanan ke pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang, tertinggal anak saudara mereka berusia setahun empat bulan selepas berhenti solat di Masjid Keputeraan, Lojing di sini semalam.

Wan Ammar Fattah Wan Azman atau Ammar ditemui oleh seorang pengguna jalan raya yang singgah bersolat di Masjid Keputeraan Lojing di sini, kira-kira pukul 2 petang semalam.

Bagaimanapun, pukul 5 petang baharulah kanak-kanak itu dituntut oleh ibu saudaranya, Nuren Syazana Abdul Rahim, 19, lapor Kosmo.

Nuren Syazana berkata, Ammar disedari tiada di dalam kereta ketika keluarga itu berhenti di ladang teh Kampung Raja, Cameron Highlands kira-kira 25 kilometer dari masjid itu.

“Sepanjang tempoh tiga jam, Ammar berada dalam pengawasan anggota polis bertugas di Pondok Polis Lojing.

“Keluarga kami menaiki dua buah kenderaan jadi kami menyangka dia menaiki salah sebuah kenderaan tersebut. Terima kasih kepada orang awam yang menemuinya dan anggota di Pondok Polis Lojing,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.