Tak Kisah Dikecam, Tetap Ke Kubur Ayah Beragama Kristian Di Hari Raya

PETALING JAYA – Seorang lelaki beragama Islam tetap mengunjungi kubur bapanya, seorang Kristian, pada sambutan Aidilfitri.

Putra Rayyan Firdaus Marcellus, 35, mengakui dia tidak kisah jika tindakan menziarahi kubur Adrian @ Andugi Jungot yang meninggal dunia pada 2014 dikecam, seperti memetik laporan mStar.

“Walaupun berlainan agama, hubungan kekeluargaan tidak pernah putus, kasih sayang tetap sama, cuma berbeza pegangan… itulah yang mahu saya sampaikan melalui gambar itu,” katanya.

Menurutnya, ibunya Nora Allim, 70, seorang Kristian juga tidak menganggap berlainan agama menghalang kemesraan ahli keluarga.

“Ibu tidak kisah kami buat rumah terbuka Aidilfitri di rumahnya, setiap kali raya memang kami adik-beradik dapat sokongan keluarga,” katanya.

Memeluk Islam ketika berusia 17 tahun, Putra Rayyan berkata lima adik-beradiknya juga beragama Kristian, manakala dua lagi menganut Islam.

Beliau yang berasal dari Tenom, Sabah menetap di Cheras, Kuala Lumpur menyifatkan kunjungan ke kubur bapa berlainan agama perkara biasa di Sabah dan Sarawak.

Gambar yang dirakam anak saudaranya dan dimuatkan di Facebook menjadi perhatian ramai, sebahagian memuji dan tidak kurang mengecam perbuatan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.