Penyeri Filem Transformers

Peminat fanatik siri filem Transformers pastinya tertanya-tanya siapakah pelakon remaja jelita bernama Isabela Moner dalam siri terbaharu filem berkenaan berjudul Transformers: The Last Knight.

Siapa sangka di sebalik usianya yang bakal berumur 16 tahun pada 10 Julai ini, Moner sebenarnya berpengalaman luas sebagai seorang aktres berbakat apabila mula mencipta nama menerusi siri televisyen Nickelodeon berjudul 100 Things to Do Before High School sekitar tiga tahun lalu, seperti memetik Kosmo.

Ternyata, rezeki berpihak kepadanya apabila dilamar pengarah, Michael Bay untuk menjayakan watak remaja yatim piatu berperwatakan tomboi bernama Izabella dalam filem berkenaan.

Sementelahan pula ini merupakan projek terakhir Bay bersama Transformers, sudah tentu kredibiliti Moner benar-benar diuji kali ini.

“Transformers: The Last Knight pastinya sebuah filem yang berbeza dan benar-benar menguji kemampuan Bay sebagai sutradara berwibawa.

“Cuma, letupan demi letupan yang cukup mendebarkan penonton pastinya berulang dalam filem ini,” jelasnya seperti mana dipetik menerusi portal Torontosun.com.

Tatkala menceritakan lebih lanjut berhubung wataknya dalam filem tersebut yang mula menjengah pawagam tempatan sejak penghujung bulan lepas, Moner menyifatkan Izabella sebagai seorang pejuang apabila meneruskan perjuangan selepas peperangan.

“Izabella kehilangan kedua-dua ibu bapa ketika pertempuran di Chicago (Transformers: Dark of the Moon yang ditayangkan pada 2011) serta dilindungi Autobots daripada kerajaan TRF yang tidak membenarkan Transformers berada di muka Bumi.

“Selepas sekian lama bersembunyi, segala-galanya bagaimanapun berubah apabila bertemu Cade Yeager (lakonan Mark Wahlberg) yang melihat potensi sebenar Izabella termasuk berupaya membaiki Transformers yang rosak,” ceritanya lagi.

Tanpa berselindung, gadis kelahiran Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat itu percaya Transformers: The Last Knight berupaya mengundang kepuasan maksimum penonton berbanding siri-siri terdahulu.

“Terdapat pelbagai konflik tidak terjangka dipaparkan dalam filem ini, selain merangkumi perjuangan pelbagai pihak tanpa meminggirkan sentimen perasaan.

“Saya percaya elemen seperti ini memastikan mengapa Transformers kekal mendapat sambutan hangat penonton sejak sedekad lepas,” ujarnya.

Pada masa sama, Moner juga teruja berkongsi cerita bagaimana dia terpilih menjalani uji bakat sebelum ditawarkan watak Izabella.

“Pada mulanya, saya tidak terpilih meskipun telah merakam uji bakat sebanyak tiga adegan memandangkan Bay lebih cenderung untuk memilih gadis yang lebih berusia.

“Kalau sudah namanya rezeki, saya akhirnya dipilih Bay yang sukakan karakter saya sebagai remaja sebenar, selain menyifatkan saya tidak ubah seperti Jennifer Lopez ketika kanak-kanak,” ungkapnya.

Ketika diajak berbicara mengenai watak pilihannya dalam filem berkenaan, ini jawapan jujur Moner.

“Sebelum ini, saya cukup meminati watak Decepticons sebaik menyaksikan filem pertama Transformers pada 2007.

“Cuma lama kelamaan, saya jatuh cinta bersama Bumblebee kerana ia cukup lucu dan menggelikan hati.

“Sudah pasti, saya mahu memandu sendiri Bumblebee sebaik memiliki lesen memandu suatu hari nanti,” ujarnya seraya menoktah bicara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.