Lebih 10 Digigit Anjing

SERIAN – Penduduk Kampung Paon Sungai Rimu Bakung dekat sini, mendakwa anjing peliharaan mereka mula dikesan berkelakuan pelik sejak hujung April lepas.

Menurut Arry Baee, 46, berkata anjing-anjing peliharaan itu bertindak liar dan mengigit penduduk kampung menyebabkan mereka terpaksa bertindak membunuh haiwan tersebut.

“Kami mula mengesan perubahan terhadap anjing-anjing tersebut apabila ekor melengkung ke bawah, air liur meleleh tidak henti-henti dan bertindak agresif dengan menerkam apa sahaja sama ada pokok, manusia atau ekor sendiri.

“Semakin lama, haiwan itu berkelakuan tidak normal, berlari ke sana sini. Ada satu kes seorang nenek digigit anjing, dan haiwan itu kemudian lari seperti ‘gila’ ke jalan raya dan dilanggar kereta,” katanya, seperti memetik Bernama.

Berikutan itu, beliau berkata penduduk kampung sebulat suara mengambil keputusan untuk membunuh anjing yang berkelakuan tidak normal selepas berbincang sesama mereka.

Bekerja sebagai petani, Arry berkata dia sendiri terpaksa membunuh dua ekor anjing peliharaannya selepas dikesan berkelakuan tidak normal.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga kanak-kanak termasuk dua beradik di daerah Serian, Sarawak, dijangkiti virus rabies dan kini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Tinjauan Bernama di kampung yang terletak kira-kira 80 kilometer dari bandar raya Kuching itu, mendapati aktiviti harian penduduk majoritinya petani masih berjalan seperti biasa.

Sehubungan itu, turut kelihatan beberapa ekor anjing yang masih bebas berkeliaran di kampung tersebut.

Paul Ken Gapaya, 57, berkata lebih 10 individu di kampung tersebut dikatakan digigit anjing sejak hujung April lalu.

“Sepanjang pengetahuan saya, lebih 10 individu di kampung ini telah digigit anjing tetapi mereka segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, Paul turut melahirkan rasa simpati terhadap dua beradik terbabit, kanak-kanak lelaki berusia empat dan kakaknya enam tahun, yang menjadi mangsa virus rabies atau penyakit anjing gila.

“Saya memang kenal mangsa ini. Mereka anak kelima dan bongsu daripada enam beradik dan selalu kelihatan berjalan bersama-sama di sekitar kampung,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.