Kru British Airways Mogok 2 Minggu

LONDON – Kru kabin British Airways (BA) melancarkan mogok selama dua minggu mulai hari ini susulan pertikaian berlanjutan berhubung isu gaji, sekali gus bakal menjejaskan jadual penerbangan.

Menurut Reuters, konflik antara kru kabin bagi penerbangan jarak jauh dan jarak dekat dan syarikat penerbangan itu sudah berlarutan sejak tahun lalu, mengenai isu gaji yang dianggap kesatuan sekerja Unite sebagai ‘kadar kemiskinan’.

Walaupun, sebahagian isu membabitkan gaji itu sudah berjaya diatasi, Unite berkata, langkah mengadakan mogok itu diambil berikutan sekatan terhadap anggota kesatuan yang sebelum ini terbabit dalam tindakan perindustrian, lapor MD.

Mogok terbaharu itu dijangka tidak menjejaskan jadual penerbangan, tetapi ia bakal memburukkan lagi imej British Airways, selepas kejadian penumpang terkandas akibat gangguan sistem komputer.

“Pelanggan akan memandang rendah keupayaan dan jenama British yang hebat ini akan terus tercemar.

“Justeru, kami meminta British Airways supaya berhenti daripada mengeluarkan sebarang ancaman dan menghentikan sekatan, supaya pertikaian yang sudah lama ini dapat ditamatkan,” pegawai kebangsaan Unite, Oliver Richardson dalam satu kenyataan.

Sementara itu, British Airways memberi amaran tindakan sewajarnya akan diambil terhadap kru kabin menyertai mogok itu.

Namun, mereka memberi jaminan bahawa semua penumpang akan selamt sampai ke destinasi masing-masing.

Syarikat penerbangan itu berkata, semua penerbangan akan beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gatwick dan London City.

Katanya, sebahagian kecil lagi perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow akan digabungkan bagi memudahkan operasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.