Impian Bomba Cilik Tercapai, Dapat Sertai Pasukan Bomba KL

KUALA LUMPUR — Impian seorang kanak-kanak lelaki untuk menaiki jentera bomba menjadi kenyataan semalam, apabila diberi peluang merasai pengalaman ‘menyertai’ pasukan beruniform itu di Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah di sini, hari ini.

Ibunya, Umi Hazlin Abd Aziz, 30, berkata minat anaknya Umar Mujahid yang berusia dua tahun enam bulan itu dengan pasukan bomba mula disedari apabila kanak-kanak itu sering bermain dengan paip air di rumah dan menyatakan dirinya adalah seorang pegawai bomba sejak beberapa bulan lalu, seperti memetik laporan Bernama.

“Malah, apabila dia terjatuh dan sebagainya, dia ingin pasukan bomba dan penyelamat yang dihubungi untuk bantuan kecemasan dan bukannya ke hospital,” kata eksekutif kewangan itu ketika ditemui pemberita pada majlis yang dianjurkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur hari ini.

Umi berkata dia terkejut apabila menerima panggilan bomba pada 21 Jun lepas yang menawarkan Umar untuk merasai pengalaman menaiki jentera bomba dan menggunakan hos air.

Pada Jun lepas, video Umar menangis sambil meminta pihak bomba membenarkannya menaiki jentera bomba mula tular selepas nenek saudaranya memuat naik video itu dalam laman sosial dan ditonton lebih 200,000 kali di Facebook.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata pihaknya mengambil keputusan bagi merealisasikan impian Umar setelah dimaklumkan mengenai rakaman video yang tular itu.

“Kami memberikan peluang kepada Umar bersama 21 kanak-kanak berusia 11 tahun ke bawah yang merupakan saudara-mara Umar untuk menyarungkan pakaian seragam lengkap pasukan bomba hari ini.

“Mereka diberikan taklimat keselamatan mengenai kesedaran mencegah kebakaran sebelum dibawa menaiki jentera bomba di kawasan sekitar selama kira-kira 15 minit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khirudin berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan kes insiden kebakaran rumah yang besar serta mengorbankan nyawa sepanjang operasi khas sempena Aidilfitri peringkat Kuala Lumpur tahun ini.

Beliau berkata, ia kerana pasukannya berjaya bertindak pantas ke lokasi kebakaran rumah dan menghalang api daripada terus merebak dengan lebih teruk berikutan terdapat pasukan bomba yang melakukan rondaan berhampiran kawasan perumahan ketika musim perayaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.