Dulu Ketua Mafia, Kini Beriman Kepada Allah

KUALA LUMPUR – Nikmat terbesar bagi seseorang individu ialah apabila mereka dipilih untuk menerima hidayah oleh Allah kerana ia boleh dikurniakan kepada sesiapa sahaja iaitu sebaik-baik atau sejahat-jahat manusia.

Itu yang berlaku kepada Vince Focarelli yang pernah menjadi ketua mafia kerana penglibatannya dalam pelbagai jenayah ter­utama senjata api dan dadah sehingga tiada siapa menyangka dia boleh berubah menjadi seorang yang beriman dan mementingkan keluarga selepas dibuka pintu hatinya kepada Islam.

Dibesarkan dalam keluarga Kristian Katolik dan pernah menjadi ketua mafia yang berpe­ngaruh di Australia, lelaki itu mula mendekati Islam apabila banyak meluangkan masa dengan ahli kumpulannya yang sebahagiannya beragama Islam.

Ketika berkongsi pengalamannya mengenali Islam dalam satu majlis di ibu negara baru-baru ini, Focarelli berkata, perkara yang membuatkan dia tertarik kepada agama itu apabila mende­ngar mengenai perbincangan mengenai Nabi Isa atau Jesus mengikut kaca mata Islam.

Katanya, dari situ dia mula merasai percanggahan cerita dan mula memikirkan logiknya dari kaca mata Islam.

Percanggahan dan pelbagai persoalan menyebabkan Focarelli atau nama barunya, Abdul Salam mahu mendekati lebih lanjut mengenai Islam sehingga akhir­nya mengucapkan dua kalimah syahadah.

Walau bagaimanapun, dia te­tap meneruskan aktiviti jenayah bersama kumpulannya sehingga lima tahun lalu apabila kehilangan anak tirinya dalam insiden tembakan.

“Kehilangan anak tiri amat menginsafkan saya tambahan pu­la saya tidak dapat menghadiri pengebumiannya kerana berada dalam penjara,” katanya.

Semasa di penjara, dia betul-betul mendalami agama Islam dan menghabiskan masa dalam tahanan dengan membaca al-Quran dari mula sehingga berjaya khatam walaupun tidak mengetahui isi kandungannya.

Selepas dibebaskan, perkara per­tama yang dilakukannya adalah menunaikan solat di masjid lalu meninggalkan kumpulannya bersama kegiatan jenayah yang dilakukan sebelum ini.

Kisah lelaki yang berasal dari Itali itu turut menyentuh hati Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri apabila menerima lawatan Focarelli ke pejabatnya tidak lama dahulu.

Zulkifli telah memuat naik dua gambar pertemuan mereka di Facebook dan beliau mendengar kisah bekas mafia itu menerima hidayah untuk memeluk Islam.

“Ahlan wa Sahlan kami ucapkan kepada Abdul Salam (Vince Focarelli), bekas mafia yang menziarahi kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

“Mendengar bagaimana dia menerima hidayah untuk memeluk Islam cukup menginsafkan kami mengenangkan kebesaran Allah,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.