Che Ta Sambung Raya Di London

Aktres Rozita Che Wan atau Che Ta yang dikecam hebat di laman sosial gara-gara memiliki 98 pasang baju raya pada tahun lalu, bergaya sakan dengan 104 pasang baju raya baharu pada Aidilfitri kali ini.

Tidak mudah melatah dengan setiap butiran kecaman netizen, Che Ta, 44, memiliki alasan tersendiri berhubung perkara itu.

“Memang saya memiliki 104 pasang baju raya pada tahun ini. Cuma, 10 pasang saja baju raya sendiri rekaan Rizman Ruzaini, selebihnya ditaja oleh Minaz.

“Sebagai duta jenama pakaian berkenaan selama setahun, saya diberikan sebanyak 94 pasang baju dengan rekaan berlainan untuk hari raya sehingga penuh satu almari dibuatnya.

“Jadi, cukup-cukuplah mengecam saya di laman sosial kerana kesemua baju tersebut diperoleh secara percuma,” katanya, seperti memetik laporan Kosmo.

Dalam pada itu, tatkala diajak bercerita mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, Che Ta menjelaskan, persiapan kali ini dilihat tidak banyak bezanya berbanding pada tahun lepas.

“Pada Aidilfitri kali ini, saya bersama suami, Zain Saidin dan anak bongsu, Aisyaah Dhia Rana beraya di ibu negara terlebih dahulu pada hari raya pertama sebelum pulang ke Alor Setar, Kedah sehari selepas itu.

“Kedua-dua anak lelaki (Ammar Effendy dan Aniq Ezzra) pula beraya bersama bapa kandung mereka di Keramat sebelum menyertai saya, Zain dan Aisyaah beraya di Gombak,” ceritanya lagi.

Sehubungan itu Che Ta berkata, dia sekadar menikmati kemeriahan Aidilfitri selama seminggu saja pada tahun ini sebelum terbang ke London, England.

“Bukan apa, saya terikat dengan jadual penggambaran sebuah drama di sana, jadi senang cerita saya akan sambung beraya di kota London,” ujarnya.

Ditanya mengenai juadah pilihannya setiap kali Syawal menurutnya dia tidak begitu memilih juadah.

“cuma laksa dan nasi tomato sememangnya menjadi satu kemestian setiap kali tibanya Aidilfitri,” katanya menutup bicara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.