Baju Melayu Poket Senget Di Hari Raya Terpahat Dalam Ingatan – Rosyam

Ingatan Datuk Rosyam Nor saat menyarung baju Melayu pertama sempena Aidilfitri sangat bermakna.

Baju Melayu dari kain kapas itu dijahit sendiri oleh ibunya, Rubiah Kamarudin, 78.

“Momen raya masa umur tujuh tahun itu memang saya tidak akan lupa. Bukan apa, ketika itu saya hidup susah. Jadi, keluarga tidak berkemampuan nak tempah baju raya. Masa zaman itu, mana ada orang jual baju Melayu longgok dan banyak-banyak. Ketika itu, baju raya cuma boleh ditempah.

“Walaupun emak bukan tukang jahit tetapi dia gigih juga menjahit baju raya untuk anak-anak. Cuma, saya masih ingat poket baju Melayu itu dijahit senget oleh emak sehingga bila saya pakai ia menjadi bahan ejekan kawan-kawan. Memang agak malu masa itu tetapi kenangan itulah yang membuatkan saya ingat sehingga ke hari ini,” ujar Rosyam, seperti memetik laporan Kosmo.

Bersyukur masih ada emak untuk memohon maaf dan mengucup wanita itu, aktor berusia 50 tahun itu juga akan memastikan pada setiap kali raya pertama dia akan pulang ke rumah emaknya di Kampung Melayu Subang.

“Tidak ada masalah nak gaduh-gaduh dengan isteri untuk balik raya sebab rumah emak dan mak mertua tidak jauh. Pagi raya biasanya di rumah saya kerana saya juga ada menantu dan cucu untuk diraikan bersama. Maklumlah sudah tua. Selepas itu, kami sekeluarga akan ke rumah emak di Kampung Melayu Subang dan rumah keluarga mertua yang terletak di Pantai Dalam, Kuala Lumpur,” getusnya yang mempunyai seorang menantu lelaki dan dua cucu itu.

Menggemari ketupat nasi berserta rendang, Rosyam memberitahu, dia hanya menempah satu pasang baju Melayu berwarna biru cair untuk Syawal tahun ini.

“Cukuplah sehelai sahaja. Baju Melayu tahun-tahun lepas masih boleh dipakai. Orang bukan tahu pun,” ujarnya secara berseloroh.

Bagi Rosyam, apa yang penting ketika Syawal adalah meraikan anak-anak, menantu dan cucu, namun dia akan pastikan sambutan rayanya bersifat sederhana dan tidak berlebih-lebihan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.