Video: PM Lakukan Tinjauan Mesra, Edar Pek Perayaan Di TBS

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri semalam melakukan lawatan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bagi meninjau keadaan di terminal itu menjelang sambutan Aidilfitri.

 

Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa selama 30 minit beramah mesra bersama orang ramai.

 

Beliau juga sempat mengedarkan pek perayaan dan duit raya kepada petugas kaunter tiket, pemandu bas dan mereka yang sedang menunggu bas pulang ke kampung halaman.

 

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Tmas, Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan Pengarah Urusan Maju Tmas, Roslan Sharif.

 

Sementara itu, Roslan berkata, Perdana Menteri turut menemui 60 pemandu bas dan berpesan agar mereka berhati-hati ketika memandu di jalan raya.

 

“Perdana Menteri berpesan kepada pemandu bas agar memastikan tiba di destinasi perjalanan dengan selamat,” katanya selepas lawatan Najib.

 

 

Roslan berkata, lebih 2,200 pelepasan dan ketibaan bas ekspres dan 60,000 pengunjung dianggarkan menggunakan perkhidmatan di TBS yang beroperasi selama 24 jam sepanjang musim perayaan ini.

 

“Ini fenomena istimewa (kunjungan Najib) kami di TBS dan para pengunjung …tidak disangka perdana menteri sudi bersama kami untuk memeriahkan episod balik kampung melalui TBS,” katanya.

 

Katanya, 500 kakitangan TBS bertugas sepanjang perayaan ini bagi melancarkan operasi dan perkhidmatan di stesen bas bersepadu itu.

 

Najib merasmikan TBS yang bernilai RM570 juta pada 14 April 2013, stesen bas bersepadu yang memberi perkhidmatan bas ke seluruh destinasi di Semenanjung. – BH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.