Adakah Tony Pua Pernah Berjumpa Justo? – Rahman Dahlan

Kuala Lumpur – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mengkritik sikap ahli jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Tony Pua yang begitu bersungguh mempertahankan Sarawak Report dan bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd. (PetroSaudi) yang ditangkap baru-baru ini.

 

Rahman melalui akaun twitternya hari ini berasa hairan dengan sokongan keterlaluan ahli PAC itu kepada mereka yang memburukkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

“Melihat kesungguhannya mempertahankan (isu yang dibangkitkan oleh) Sarawak Report, saya ingin bertanya apakah Tony Pua pernah berjumpa dengan Clare Rewcastle atau Justo? Memadai dengan memberikan jawapan ya atau pun tidak.

 

“Soalan kedua saya kepada YB Tony Pua ialah, bolehkah beliau mengesahkan sama ada PAC akan menyiasat dakwaan berhubung kehilangan RM42 billion?” soalnya di laman media sosial itu sebentar tadi.

 

Pengerusi DAP Selangor itu sebelum ini dilihat lantang mempertikaikan isu yang berkaitan 1MDB.

 

Namun tinjauan SuaraTV mendapati, sehingga kini tiada sebarang jawapan yang diberikan oleh Tony Pua berhubung persoalan yang dibangkitkan itu.

 

Clare Rewcastle Brown merupakan pengasas dan pengarang portal berita Sarawak Report yang kritikal terhadap kerajaan Malaysia.

 

Brown yang dilahirkan di Sarawak merupakan anak kepada pasangan British dan terkenal dengan laporan yang mengkritik kerajaan negeri Sarawak sewaktu era bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud.

 

Manakala Justo atau nama sebenarnya Xavier Andre Justo, yang ditahan di Thailand baru-baru ini didakwa mengugut dan menokok tambah sebahagian maklumat PetroSaudi kepada syarikat pesaing dan pihak lain melalui e-mel.

 

Menurut laporan dia bakal diekstradisi ke Switzerland untuk dibicarakan atas tuduhan pemerasan jenayah terhadap bekas majikannya dalam tempoh terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.