Pembantu Juruterbang Sempat Hubungi Keluarga

PALEMBANG – Keluarga kepada pembantu juruterbang pesawat Hercules C-130 yang terhempas di Medan, Leftenan Muda Dian Sukma Pasaribu, tidak menyangka juruterbang muda itu terbabit dalam nahas berkenaan.

 

Portal tribunnews.com me­laporkan, ibu Dian, Yarnani berkata, anaknya sempat menghubunginya pada malam sehari sebelum kejadian.

 

“Dian sempat menghubungi kami dan berbual dengan ayah dan adik-adiknya. Dia memaklumkan kepada kami, dia ingin memperkenalkan kekasih hatinya, Putri Inka Mutiara pada Hari Raya Aidilfitri nanti,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

 

Yarnani berkata, dia dimaklumkan mengenai anaknya terbabit dalam nahas itu oleh ahli keluarga di Medan, tetapi masih belum mengetahui mengenai keadaannya.

 

“Saya sekeluarga masih berdoa Dian terselamat dalam nahas berkenaan.

 

“Bagaimanapun, pada malam tadi, kami melihat namanya tertera dalam senarai nama mangsa yang terkorban dalam nahas itu yang dilaporkan di pejabat tentera,’’ katanya sambil menangis. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.