Minuman Berkarbonat Penyebab Kematian 184,000 Orang Setiap Tahun

WASHINGTON – Soda dan minuman bergula lain boleh menyebabkan hingga 184,000 kematian setahun di seluruh dunia, demikian menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Circulation baru-baru ini.

 

Laporan yang pertama seumpamanya itu menganalisis risiko global kematian akibat diabetes, penyakit kardiovaskular dan kanser yang dikaitkan dengan pengambilan minuman bergula.

 

Penyelidik menganggarkan hampir 133,000 orang maut akibat diabetes dalam apa yang disifatkan laporan itu sebagai mengambil “minuman gula-manis.”

 

Kira-kira 45,000 orang maut di seluruh dunia akibat peningkatan penyakit kardiovaskular dikaitkan minuman bergula dan penyelidik menganggarkan 6,450 orang maut akibat kanser yang dikaitkan dengan minuman itu.

 

Penulis kajian, Dariush Mozaffarian dari Universiti Tufts di Boston, berkata banyak negara di dunia mencatat sejumlah besar kematian akibat faktor pemakanan tunggal, iaitu minuman gula-manis.

 

“Dunia perlu mengurangkan dengan ketara atau menghentikan terus pengambilan minuman gula-manis dalam diet,” katanya.

 

Laporan itu menyebut, Mexico mencatat kadar kematian tertinggi membabitkan minuman manis dengan kadar 450 kematian bagi setiap sejuta dewasa, diikuti Amerika Syarikat dengan anggaran 125.

 

Jus buahan bagaimanapun tidak termasuk dalam kajian dijalankan antara tahun 1980 hingga 2010 di 51 negara. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.