Juruterbang Silap Matikan Enjin Punca Nahas Pesawat Taiwan

TAIPEI – Kapten pesawat ATR TransAsia Airways yang terhempas di Taiwan pada Februari lalu dan membunuh 43 orang, mematikan enjin yang beroperasi apabila satu lagi enjin kehilangan kuasa, menurut Majlis Keselamatan Udara (ASC) dalam laporan terbaharu.

 

Menurut laporan yang dikeluarkan hari ini, kira-kira tiga minit selepas berlepas, kapten berkenaan yang sedang mengawal pesawat itu kedengaran berkata: “Wow, dah tarik pendorong yang salah”.

 

Sumber yang mengetahui mengenai laporan itu memberi tahu Reuters semalam bahawa juruterbang menutup enjin yang berfungsi.

 

Bacaan data pesawat ATR 72-600 itu menunjukkan ia pegun dan terhempas sejurus enjin itu dimatikan.

 

Draf laporan akhir akan dikeluarkan pada November depan dengan laporan akhir dijangka siap pada April tahun depan. Punca pesawat berkenaan terhempas dan cadangan mengatasi nahas serupa akan dimasukkan dalam laporan akhir.

 

Pesawat yang mampu terbang dengan hanya satu enjin itu sedang membawa 58 penumpang dan anak kapal apabila ia meluncur dalam keadaan mendongak di celah bangunan dan sayapnya terlanggar jejambat serta sebuah teksi sebelum terhempas dalam keadaan terbalik ke dalam sungai di Taipei. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.