CoC Jana Pendapatan RM10 Juta Sehari

MUNGKIN ramai yang tidak tahu aplikasi permainan video Clash of Clans (CoC) mampu menjana pendapatannya hingga RM10 juta sehari daripada permainan video yang ditawarkannya menerusi platform Apple App Store dan Google Play Store.

 

Tidak mustahil permainan video ini menjadi yang tertinggi menjana pendapatan walaupun secara dasarnya permainan video ini adalah dalam platform percuma. SuperCell, syarikat yang mencipta CoC mempunyai cara tersendiri untuk menjana pendapatan.

 

Walaupun diberikan percuma tetapi terdapat beberapa perkara yang memerlukan pemain untuk membeli.

 

COC diketahui umum sebagai permainan video paling digilai buat masa ini, di mana saja pasti setiap orang tidak kira tua dan muda mempunyai permainan video ini di dalam telefon pintar mereka.

 

Ia kegilaan terbaharu dalam dunia permainan video. CoC adalah sebuah aplikasi permainan genre strategi peperangan.

 

Ketika memulakan permainan, setiap pemain akan diberikan 500 permata percuma. 500 permata percuma ini sebagai modal untuk membina empayar atau perkampungan sendiri dengan pembinaan struktur bangunan.

 

Tetapi selepas naik ke tahap seterusnya permata ini mula hilang. Maka, bermulalah fasa sebenar mengumpul kembali permata jika ingin mengembangkan empayar.

 

Mengikut pakar psikologi, keghairahan pemain yang terlalu fanatik terhadap permainan ini membuatkan mereka tidak sabar untuk mengumpul permata.

 

Di sinilah CoC mula menjana keuntungan, pemain yang tidak sabar menunggu akan membeli permata dengan harga tertentu dalam bentuk belian dalam aplikasi. Tidak kiralah ditolak melalui kad kredit atau perbankan internet.

 

Begitu juga dengan beberapa perkara lain seperti perlindungan, tentera dan alatan berperang selain membesarkan empayar.

 

Semuanya memerlukan permata atau point yang dikumpul. Jika tidak sabar menunggu, terlalu asyik untuk berperang dan membesarkan empayar, kebanyakan pemain akan membeli dalam aplikasi.

 

Inilah cara terbaik SuperCell, pencipta CoC menjana keuntungan. Tidak mustahil SuperCell menjadi antara syarikat yang terbaik dalam arena pembinaan aplikasi permainan video ketika ini. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.