Tiga Beranak Maut Nahas

TANAH MERAH 1 Julai – Ramadan kali ini meninggalkan kesan duka yang mendalam buat lima beradik selepas hilang tempat bergantung apabila ibu serta dua saudara mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 70.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli berhampiran Panglima Bayu di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, Nor Suzilawati Hussin, 39, mati lemas selepas kereta yang dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam sebatang sungai.

Turut terkorban ialah dua anak lelakinya, Irfan Azmi Qayyum Ubaidullah, 12, dan Iqbal Hariz Putra, 5.

Nor Suzilawati yang bekerja sebagai pembekal barangan runcit disahkan meninggal dunia bersama anaknya, Iqbal Hariz Putra di Klinik Kesihatan Batu Gajah, sini.

Irfan Azmi Qayyum disahkan meninggal dunia di Hospital Tanah Merah di sini pada pukul 1.35 petang.

Lebih memilukan, mangsa meninggalkan anak bongsu yang berusia 15 bulan. Malah tragedi ini juga turut memberi kesan kepada kembar Irfan Azmi Qayyum iaitu Ilham Jali Qayyum.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama dua anaknya dalam perjalanan untuk menghantar barangan runcit di kawasan Panglima Bayu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abd. Aziz berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kenderaan yang dipandu mangsa bersama dua anaknya itu dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menuju ke Jeli.

“Ketika tiba di tempat kejadian kereta yang dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam sungai tersebut.

“Kesemua mangsa disahkan mati lemas dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata Abd. Aziz, ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Ikhwan Hanif, 17, ketika ditemui berkata, dia sama sekali tidak menyangka daging kerutuk yang dimakan ketika bersahur pagi ini adalah juadah terakhir yang dimasak ibunya.

“Pagi tadi kami semua sempat bersahur dengan emak. Sebelum ini emak tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara cuma sejak beberapa hari lalu, dia cepat naik marah dengan kami semua.

“Semasa kejadian, saya bersama adik-adik yang lain ke sekolah kecuali adik bongsu yang dijaga oleh mak cik. Irfan Azmi juga sepatutnya ke sekolah tetapi dia tidak mahu pergi pada pagi ini, Jadi dia menemani umi berniaga. Kami semua selepas ini akan dijaga oleh datuk dan nenek yang tinggal di Jalan Mahsuri di sini,” katanya.

 

http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140702/je_07/Tiga-beranak-maut-nahas#ixzz36HiaUmcS 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.