Saya Mahu Jumpa Anak-Anak Saya

SELISING – “Tidak ada apa yang menggembirakan hati saya ketika ini selain berjumpa semula dengan anak-anak saya yang mungkin masih berada di Singapura,” demikian luahan Mohamed Muda, 66.SZ

Keresahan itu lebih dirasakan apabila dia sekian lama menjalani kehidupan sukar bersama dua adiknya, Zulkifli, 59, dan Mat Yusof, 50, di rumah kecil di Kampung Tok Der, di sini.

Mohamed yang merupakan bekas pemain bola sepak Piala Emas Raja-Raja Kelantan berkata, dia berkahwin di Singapura pada tahun 1969 dan terpisah pada 1978 apabila dia terpaksa kembali ke Kelantan.

“Saya menetap di Geyland Serai ketika itu dan semasa saya pulang ke Kelantan, isteri saya, Rohani Sulaiman hamil enam bulan,” katanya.

Menurutnya, dua lagi anak saya adalah Zainal yang kini berusia 43 tahun dan Noraini yang kini berusia 31 tahun.

“Saya kerap ke Singapura kerana terlibat dalam perlawanan bola sepak, ketika itu saya mengenali isteri saya dan berkahwin tapi hubungan tidak lama kerana saya terpaksa balik dan menghadapi masalah yang menyebabkan saya tidak mampu ke Singapura semula,” katanya.

Mohamed yang masih mengikuti perkembangan dunia bola sepak berkata, sudah bertahun-tahun dia membayangkan menyambut hari raya bersama anak-anaknya namun harapan itu semakin suram kerana penderitaan penyakit sawan yang dialami dia dan dua adiknya.

“Kami dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM120 sebulan, tidak cukup untuk kami bertiga tapi saya bersyukur dan berharap rezeki bertambah baik.

“Saya berterima kasih kepada Penyelia Dun Semerak, Nik Yusof Nik Abdullah yang membantu membaiki rumah kami yang agak usang,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Profesional Penyayang Kelantan, Mohammad Said semalam.

Mohammad berkata, yayasan menyumbangkan keperluan asas bagi meringankan beban ketiga-tiga beradik itu.

“Pihak kami akan berusaha berhubung dengan kedutaan Singapura untuk menemukan semula Mohamed dengan anak-anaknya, saya juga berharap pihak lain turut membantu,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/saya-mahu-jumpa-anak-anak-saya-1.295429

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.