Resapi Roh Kuala Lumpur Dalam MUDKL

KUALA LUMPUR – Bercerita tentang sejarah lahirnya Kuala Lumpur, pasti terbayang di benak fikiran nama-nama tersohor seperti Yap Ah Loy, Tengku Kudin dan Sir Frank Swettenham.

Selain kisah awal penempatan Kuala Lumpur di pertemuan Sungai Klang dan Gombak, warga kota juga sedia tahu bahawa suatu ketika dahulu Kuala Lumpur menjadi tumpuan perlombongan biji timah yang dikuasai oleh kapitan-kapitan Cina.

Tiara dikelilingi pelakon-pelakon MUDKL
Tiara dikelilingi pelakon-pelakon MUDKL

Namun, masih ramai rakyat Malaysia amnya yang belum cukup mengenali ataupun menghayati sejarah Kuala Lumpur yang kini antara bandaraya metropolitan paling membangun di dunia.

Hasil daripada kesedaran itu, muncul idea yang dicetus penggiat teater dan juga pelakon terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina, “Sebelum ini, saya dan rakan-rakan banyak mengkaji sejarah dan budaya negara luar, dan mula tertanya apakah sejarah Kuala Lumpur?”

Dengan kerjasama produksi teater yang dinaungi Tiara, Enfiniti Vision Media dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebuah teater muzikal bertajuk “MUD: Our Story Of Kuala Lumpur” (MUDKL) sudah mula dipentaskan di Panggung Bandaraya.

MUDKL merupakan teater muzikal yang berkisar tentang kehidupan tiga sahabat Mamat, Meng dan Muthiah berlatar belakangkan sekitar tahun 1881, iaitu tahun Kuala Lumpur mula diteroka.

Dipentaskan dengan santai serta interaktif, pengalaman menonton teater muzikal berdurasi lebih sejam ini amat menerujakan, menyentuh perasaan dan mengembalikan semangat sayangkan Kuala Lumpur, khususnya kepada warga kota dan generasi muda.

“MUDKL adalah cerminan wajah kita sebagai bangsa Malaysia. Plot penceritaannya memaparkan simbolik persahabatan, cita-cita dan kejayaan. Skrip yang ditulis sememangnya bertujuan mendekati kehidupan sebenar warga kota.”

Pelancaran rasminya telahpun berlangsung malam tadi dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Normah Malik.

Ketika merasmikan projek ini awal bulan lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berbesar hati dengan usaha Enfiniti dalam memajukan Panggung Bandaraya.

“Dengan penambahan pelancong dari dalam dan luar negara ke Kuala Lumpur setiap tahun, kita perlukan sesuatu yang boleh menjadi tarikan pelancong yang dipanggil ‘soul of Kuala Lumpur’,” demikan ujar Ahmad Phesal.

Lebih penting, ini adalah sebahagian usaha untuk kembali mempopularkan Panggung Bandaraya sebagai lokasi pilihan menonton teater dan persembahan secara langsung selain Istana Budaya dan KLPAC.

Terletak berhampiran Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad, Panggung Bandaraya menyimpan nilai sejarah kerana dibina sejak zaman kolonial British oleh arkitek Bension Hubback pada 1896.

Kebakaran yang berlaku pada 1992 memusnahkan seluruh bahagian dalam dewan teater ini tetapi DBKL menyahut cabaran untuk melakukan kerja pembaikan, pengubahsuaian dan naik taraf Panggung Bandaraya serta membina semula dan memulihkan panggung lama ini kepada bentuk kegemilangan asalnya.

Justeru, dengan adanya persembahan harian MUDKL di Panggung Bandaraya ia sekaligus mampu memperluas minat orang ramai untuk menjadikan teater sebagai antara hiburan sampingan selepas waktu kerja, di samping mendekatkan para pelancong dengan nilai sejarah yang ada pada Kuala Lumpur.

MUDKL akan dipentaskan dua kali setiap hari sepanjang tahun, bermula Julai ini.

Tiket untuk menonton MUDKL berharga RM45 dan RM60.

Maklumat lanjut layari www.mudKL.com atau Facebook dan Twitter MudKL. – ABN News

http://news.abnxcess.com/bm/2014/06/resapi-roh-kuala-lumpur-dalam-mudkl-tiarajacquelina/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.