Pemimpin DAP Dakwa Diusir Dari Bazar Ramadhan

Kluang – Sekumpulan petugas menghalang dan menghalau rombongan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan Adun Mengkibol Tan Hong Pin ketika melawat bazar Ramadhan bandar Kluang.

Menurut Hong Pin, kumpulan tersebut yang mendakwa mereka adalah petugas keselamatan bazar bertindak menengking serta menghalau dengan kasar rombongan Pusat Komuniti Kluang (KCC).

Sumber Roketkini.com melaporkan dalam kejadian yang berlaku 30 Jun lalu, mereka mendakwa rombongan KCC tidak memiliki surat kebenaran daripada pihak pengurusan dan menceroboh kawasan bazar.

“Kami adalah wakil rakyat yang membuat lawatan rutin sambil mengedar buah kurma kepada pengunjung untuk meraikan bulan Ramadhan. Mengapa kami diperlakukan begitu?” soal Hong Pin yang juga Ketua Pemuda DAP Johor.

Ketika berlaku pertikaman lidah, salah seorang anggota kumpulan yang menghalang lawatan KCC mendakwa dirinya sebagai wakil penganjur daripada Yayasan Majlis Perbandaran Kluang.

“Kumpulan ini mendakwa mereka daripada Yayasan Majlis Perbandaran Kluang, tetapi beberapa anggota mereka memakai vest berlogo Umno.

“Kita nak tahu, adakah Majlis Perbandaran Kluang (MPK) menyerahkan mandat kepada sebuah badan dan parti politik untuk mengendalikan bazar Ramadhan?” soalnya.

Difahamkan, peniaga kecil di bandar Kluang sebelum ini pernah membuat aduan akibat masalah yang ditimbulkan penganjur bazar yang sama.

“Apakah peruntukan undang-undang membolehkan petugas menghalang lawatan Ahli Parlimen atau Adun dan bertemu rakyat yang terdiri daripada peniaga kecil dan orang ramai?

“Kami menuntut penjelasan MPK. Dan kami mahu Umno Bahagian memohon maaf secara terbuka atas tindakan kasar ala samseng oleh petugas-petugas mereka,” tegas Hong Pin.

Akibat pertelingkahan itu, rombongan KCC mengambil keputusan beredar dari bazar Ramadhan bagi mengelakkan ketegangan berterusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.