Kelindan Lori Maut Nahas Kemalangan

Shah Alam – Seorang kelindan lori warga India terbunuh selepas lori empat tan yang dinaikinya merempuh sebuah lori kontena di Persiaran Anggerik Mokara menghala Kota Kemuning di sini, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Mangsa dikenali sebagai Gopi, 30, yang cedera di kepala dan bahagian perut, mati di tempat kejadian dalam kemalangan.

Pemandu lori, Saiful Bahri Yahya, 31, cedera ringan di bahagian kanan kepala. Bagaimanapun, pemandu lori kontena tidak mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata siasatan awal mendapati Saiful Bahri gagal memberhentikan lorinya lalu merempuh lori kontena yang berhenti dalam kesesakan jalan lalu lintas.

“Pemandu lori cuba mengelak lori kontena itu tetapi gagal sebelum bahagian kiri kenderaan dipandunya merempuh bahagian kanan lori kontena yang menyebabkan kelindannya tersepit di bahagian yang remuk,” katanya.

Berikutan kemalangan itu, tujuh anggota bomba dikejarkan ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan mengalihkan lori berkenaan.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas kira-kira tiga kilometer dari arah sama.

Saiful Bahri dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.