Kekasih Neymar Tak Tahan Bau Kentut Penonton

Belo Horizonte (Brazil) – Pesta bola sepak Piala Dunia Brazil 2014 yang sedang berlangsung memang mencetuskan pelbagai kisah dan cerita menarik di sebalik ketegangan dan kerancakan bintang-bintang dunia beraksi di tengah padang.

Antara kisah yang menarik perhatian ramai buat masa ini ialah mengenai insiden kekasih bintang pujaan Brazil, Neymar, yang jadi mangsa bau busuk kentut seorang penonton.

Bruna Marquezine, jadi korban sikap kurang sopan penonton itu semasa menyaksikan perlawanan antara Brazil dengan Chile pada peringkat pusingan kedua pada Sabtu lalu di Stadium Mineirao.

Artis cantik berusia 18 tahun itu terpaksa mencium bau busuk seorang peminat lelaki yang berada di depannya.

Walaupun kisah berkenaan belum disahkan oleh Bruna, namun video mengenai insiden berkenaan sudah tersebar luas di media sosial malah telah ditonton lebih 430,000 orang sejak dimuat naik di YouTube tiga hari lalu.

Bruna dilihat bukan sahaja menutup hidungnya kerana tidak tahan dengan bau kentut malah turut mencuit lelaki berkenaan yang disyaki ‘melepaskan gas beracun’ di khalayak ramai.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan yang mengambil video selfie tetap selamba dan terus merakam keadaan Bruna yang tidak senang dengan bau kentutnya.

Beberapa orang di keliling lelaki itu juga rasa tidak senang dengan perangai lelaki tersebut.

Dalam perlawanan itu, Brazil dan Chile terikat 1-1 sehingga masa tambahan tamat dan perlawanan berkenaan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Brazil akhirnya lebih bernasib baik apabila menang 3-2 dalam sepakan penalti hasil kecekapan Julio Cesar yang menampan dua sepakan pemain Chile manakala satu lagi sepakan terkena tiang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.