Derita Air Sejak Setahun Lalu

SIBU: Warga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya di sini menghadapi pelbagai kesulitan gara-gara ketiadaan air sejak hampir setahun lalu.

Justeru kira-kira 300 pelajar asramanya, belum lagi termasuk guru, begitu sengsara kerana ketiadaan air yang mencukupi untuk mandi, memasak dan sebagainya.

Malah, warga sekolah itu selama ini bergantung kepada air yang dihantar dengan lori tangki air Lembaga Air Sibu (LAS) yang berharga RM400 setangki.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Jalan Oya Edwin Maring berkata, keadaan itu amat menyusahkan serta mengundang rasa tidak selesa warga sekolah.

“Kadang-kadang ada sedikit air keluar dari pili air, kadang-kadang langsung tiada air setitik pun.

“Keadaan ini berlaku hampir setahun lalu dan dua hari lepas termasuk hari ini (semalam) kami di sini langsung tiada air,” ujarnya kepada Utusan Borneo di sini, petang semalam.

Edwin mendakwa, banyak masalah timbul ekoran ketiadaan air di sekolah tersebut sekali gus dikhuatiri boleh mempengaruhi prestasi pelajar terutama dalam bidang akademik dan kokurikulum.

“Banyak persoalan timbul daripada masalah tersebut, namun kami bersabar.

Tetapi kini sudah setahun belum juga apa-apa tindakan dibuat kepada sekolah kami hinggakan kami terpaksa mendedahkan isu ini kepada umum,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak sekolah mengambil pelbagai inisiatif untuk mencari punca masalah itu kerana biarpun saluran paipnya dipasang dengan sempurna, mereka hairan air tiada.

Oleh yang demikian, beliau memohon pihak berkenaan supaya segera mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah air yang sekian lama membelenggu sekolah terbabit.

“Masalah tiada air ini amat mengganggu semua aktiviti sekolah, pelajar asrama, guruguru dan penyediaan masakan untuk pelajar asrama memandangkan air adalah keperluan asas.

“Pihak sekolah bersama PIBG berusaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini, namun kami tidak mampu mengatasinya kerana banyak kemungkinan boleh berlaku kepada sistem perpaipan yang disalurkan ke kawasan sekolah,” katanya.

Jelasnya, pihak sekolah juga membuat aduan kepada LAS dan memohon peruntukan daripada pihak bertanggungjawab, namun semuanya masih belum berhasil.

“Sebagai PIBG, kami berharap masalah ini dapat diatasi dengan segera dan bijaksana oleh pihak berwajib agar seluruh warga sekolah tidak lagi berasa bimbang dan pembelajaran anak-anak kami pun berjalan lancar sebagaimana sekolah lain yang tiada masalah air sehingga ke tahap kritikal.

“Sekali lagi kami mohon agar pihak bertanggungjawab tolong selesaikan masalah air dihadapi SMK Jalan Oya,” katanya.

 http://www.theborneopost.com/2014/07/02/derita-air/#ixzz36H2CAxSs

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.