Buntu Mahu Dapatkan RM6,900

KUALA KRAI – Hanya satu yang diharapkan Siti Juriah Yusuf, 23, sebaik menerima berita suaminya jatuh pokok ketika mengambil madu, 26 Jun lalu.

“Saya hanya mahukan suami, Muhammad Zailani Shafian, 27, segera pulih dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya sayu.

Kejadian itu menyebabkan Muhammad Zailani kini hanya mampu terlantar, malah kaki kirinya juga tidak dapat digerakkan.

Dia semakin buntu apabila doktor memaklumkan suaminya perlu dibedah segera dengan kos rawatan berjumlah RM6,900.

Siti Juriah yang juga suri rumah berkata, kos rawatan itu amat besar baginya untuk membolehkan suaminya dibedah, Khamis ini.

“Suami bekerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa menyebabkan kami tidak boleh menabung. Wang yang ada hanya cukup untuk keperluan makan minum kami empat beranak.

“Kebarangkalian suami untuk pulih adalah tinggi sekiranya segera dibedah,” kata ibu dua anak berusia 4 dan 5 tahun ini, dan sedang hamil anak ketiga ketika ditemui di Hospital Kuala Krai, semalam.

Menurutnya, dia bingung memikirkan cara mendapatkan wang kerana masa terlalu singkat.

“Suami ditimpa kemalangan minggu lalu, beberapa hari sebelum puasa, jadi dia tidak dapat bekerja dan kami tidak mempunyai wang, apatah lagi dalam jumlah banyak. Saya pula tidak bekerja.

“Saya berharap sangat suami dapat dibedah agar dia kembali sihat dan boleh mencari rezeki buat kami sekeluarga,” katanya yang kini menetap bersama ibunya di Limau Kasturi, Gua Musang.

Individu yang mahu membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam (03063020207213 – Siti Juriah Yusuf).

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/buntu-mahu-dapatkan-rm6-900-1.295170

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.