Bible Bahasa Melayu : Selangor ambil kira pandangan Peguam Negara

Shah Alam – Kerajaan Negeri tetap berpegang dengan keputusan Peguam Negara bersabit isu rampasan 321 naskhah Bible terjemahan Bahasa Melayu dan Iban daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM), awal Januari lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun kerajaan negeri menghormati pendirian Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk terus menguatkuasakan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988, namun kerajaan negeri tetap berpandangan bahawa penyelesaian pertikaian itu perlu mengambilkira keputusan pihak peguam sebelum ini.

“Boleh jadi kenyataan MAIS itu berpandukan kepada enakmen yang memberikan kuasa pemantauan kepada MAIS.

“Walau bagaimanapun kerajaan negeri menerima pandangan peguam negara berhubung penyelesaian itu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco, sebentar tadi.

Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail mendakwa badan penguatkuasa MAIS iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tersilap langkah dalam isu rampasan tersebut.

Keputusan Peguam Negara itu merumuskan naskhah Bible yang dirampas itu bukan tulisan yang diterbitkan mengikut seksyen 9 (1) (a) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Justeru, pihak peguam negara merumuskan tiada pendakwaan dilakukan dan meminta kes itu ditutup, selain mengarahkan pemulangan naskhah itu perlu dilakukan mengikut undang-undang.

MAIS walau bagaimanapun tidak bersetuju dengan keputusan tersebut dan tidak mahu memulangkan naskhah yang dirampas berkenaan.

Menurut kenyataan MAIS sebelum ini, pihaknya yakin masih wujud ruang untuk melakukan pendakwaan berpandukan enakmen dan undang-undang.

Khalid walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung proses pemulangan naskhah berkenaan kerana ia masih dalam proses perbincangan.

“Dalam proses pelaksanaan.. Saya tak nak beri komen sekarang kerana ia dalam proses pelaksanaan mula dilancarkan. Saya harap dalam masa terdekat untuk mengumumkan penyelesaian perkara ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Kerajaan Negeri memberi jaminan bekalan air mentah mencukupi bagi menghadapi musim perayaan kelak.

Namun pengguna perlu bersedia dengan kemungkinan masalah pengagihan air, seperti masalah paip pecah atau bekalan elektrik terputus.

“Kerajaan negeri mempunyai perancangan bahawa air mentah cukup walaubagaimanapun dari segi pengedaran ada beberapa isu yang perlu dipantau.

“Antaranya kalau paip pecah mahupun bekalan elektrik terhenti, ini antara perkara yang menyebabkan air tidak dapat disalurkan pada masa tertentu,” katanya.

Walaubagaimanapun, Khalid berkata kelemahan ini akan dipantau dan diselesaikan dengan kadar segera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.