LONDON – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa tiada ketegangan atau krisis dalaman dalam parti susulan keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz keluar dari UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Memetik BERNAMA, Zahid berkata kebanyakan ahli akar umbi UMNO menerima keputusan bekas Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri itu dengan tenang dan menyifatkannya sebagai langkah yang wajar.
“Saya tidak nampak ‘suhu kepanasan’ berlaku dalam kalangan UMNO, eloklah keluar kalau tidak ada kesetiaan di dalam parti… jangan ganggu beliau kerana beliau sedang mengerjakan haji, moga-moga ketenangan menyelubungi minda beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan pramesyuarat bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja empat hari ke United Kingdom bermula hari ini.
Pada Jumaat lalu, Tengku Zafrul mengumumkan melalui laman Facebook bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat menyertai PKR.
Ketika ditanya sama ada tempat Zafrul dalam Kabinet akan digantikan susulan peletakan jawatan itu, Zahid berkata perkara tersebut perlu dibincangkan secara dalaman dalam kalangan kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Hak mutlak pelantikan menteri ini adalah atas (budi bicara) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“…elok kita adakan perbincangan secara dalaman supaya tidak timbul interpretasi yang pelbagai dalam perkara ini,” jelasnya.
Sebelum itu, Zahid turut menegaskan bahawa UMNO mengharapkan agar kuota tujuh menteri penuh dalam Kabinet Persekutuan dapat dikekalkan atau dikembalikan kepada parti itu berikutan tindakan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO.