Warga Kota Guna Cuti Sekolah Bersiap Sambut Syawal

Tinjauan Bernama di Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, mendapati biarpun baru memasuki hari keenam umat Islam di negara ini berpuasa, rata-ratanya sanggup mengambil cuti untuk membeli kelengkapan Aidilfitri bagi mengelak kesesakan yang sering berlaku pada hujung minggu atau hari-hari terakhir.

Pekerja swasta, Don Akmal Don Nazri, 40, yang menetap di Sungai Buloh lebih selesa membawa keluarga keluar membeli persiapan raya lebih awal.

“Sekarang anak-anak cuti sekolah, mudah untuk saya dan isteri bawa mereka berjalan dan apa yang penting jalan raya tidak sesak.

“Pusat beli belah di sekitar ibu kota juga masih tidak begitu ramai pengunjung, jadi lebih mudah untuk kami mengawasi pergerakan anak-anak dan membuat pilihan pakaian,” kata bapa kepada tiga anak kecil berusia enam hingga 11 tahun itu.

Dalam pada itu, bagi jururawat, Nor Adila Abd Kadir, 28, beliau sanggup datang ke Kuala Lumpur dari Segamat, Johor semalam, kerana lebih banyak pilihan dan lokasi menarik untuk membeli belah di sini.

“Di ibu negara bukan sahaja mudah untuk mencari pakaian, malah kelengkapan lain terutama perhiasan rumah banyak dijual dan mudah didapati pada harga berpatutan.

“Antara lokasi wajib saya dan adik beradik lain semestinya di Jalan Masjid India kerana semua pakaian dengan rekaan terbaharu dijual dan kami turut membeli pelbagai kuih raya pada harga borong,” katanya.

Sementara itu, peniaga pakaian, Norhayati Izzati Saufi, 33, yang ditemui berkata, biarpun baru menjalankan perniagaan di Jalan Masjid India sejak empat hari lalu, jualan hariannya agak menggalakkan sehingga mencecah puluhan helaian.

“Baju kurung moden dengan rekaan peplum serta kebaya antara yang meraih jualan tertinggi setakat ini kerana pembeli mahukan rekaan yang bersifat elegan, moden tetapi pada sama kelihatan ringkas.

“Bagi pakaian lelaki, ramai memilih kurta berbanding baju Melayu kerana ia selesa dan senang digayakan dengan seluar jeans dan slack ,” katanya yang sudah enam tahun berniaga di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, bagi Muhd Azam Zamri, 27, pula, yang sudah lapan tahun menjual kuih raya, berkata sambutan pembeli ketika ini masih kurang memuaskan memandangkan kebanyakannya gemar membeli pada saat akhir.

“Kebiasaannya, antara kuih yang sentiasa menjadi pilihan pembeli adalah tat nanas, batang buruk, dan popia simpul dan trend itu masih lagi kekal tahun ini,” katanya yang mendapat bekalan stok dari Ipoh, Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.