Video : Tular, Sebuah Lagi Myvi Lawan Arus

Aksi memandu kenderaan melawan arus lalu lintas dirakamkan sekali lagi membabitkan kereta jenis Myvi berwarna kelabu.

Menurut info rakaman video yang dikeluarkan di laman rasmi Facebook Info Roadblock Jpj/Polis semalam, kejadian itu berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berdekatan kawasan rehat dan rawat (R&R) Kulai, Johor menghala utara.

Rakaman video itu memaparkan kereta Myvi tersebut dipandu dalam lorong bertentangan dalam keadaan laju.

Individu yang merekodkan video itu beranggapan pemandu tersebut gila dan membahayakan pengguna lebuh raya lain.

“OKU tak buat macam ini, ini kerja orang gila,” kata individu dalam video itu.

Rakaman selama 1 minit 27 saat itu terhenti apabila individu yang merakamkan video terbabit memberhentikan kenderaannya.

Video itu telah ditonton oleh lebih 250,000 kali dan dikongsikan lebih 4,000 pengguna Facebook setakat ini.

Ada pengguna yang menyalahkan perlaksanaan laluan kontra yang dibuka bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.

Malah, ada juga cadangan agar pihak berkuasa menarik balik lesen pemandu kenderaan itu dan tidak terkecuali yang menyarankan agar tindakan lebih keras.

Bagaimanapun, info lanjut berhubung kejadian yang berlaku seterusnya masih belum dipastikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.