Ramadan Bulan Bulan Keimanan dalam Mempertahakan Islam

BULAN Ramadan bagi umat Islam amat istimewa sekali kerana ia bulan penuh keberkatan.

Secara sejarahnya, umat Islam diperintahkan berpuasa pada bulan Ramadan bermula pada tahun kedua Hijrah (624 Masihi).

Surah Al-Baqarah ayat 183, membawa maksud: “Telah diwajibkan umat Islam untuk mengerjakan ibadat puasa sebagaimana diwajibkan pada umat yang terdahulu.”

Yang menariknya, apa yang berlaku pada bulan Ramadan tahun kedua Hijrah ialah peristiwa Perang Badar. Peperangan yang tidak diduga oleh Rasulullah namun menjadi ketentuan Allah.

Perang Badar amat menarik jika diteliti sejarahnya. Bukan sahaja dari segi jumlah bilangan tentera Islam yang mampu mengalahkan tentera musuh, tetapi perang Badar adalah kemenangan pertama buat umat Islam.

Perang Badar berlaku tanpa sebarang perancangan dari pihak tentera Islam. Rasulullah keluar bersama 313 orang tentera untuk melakukan Ghazwah, iaitu rondaan bagi mengelakkan kabilah Abu Sufian bin Harb yang ketika itu membawa sejumlah besar harta penduduk Makkah daripada melakukan sebarang kerosakan seperti yang berlaku kepada mereka yang tinggal di As-Suffah.

Apabila tindakan Rasulullah itu diketahui Abu Sufian bin Harb, dia mengupah Damdam bagi menyebarkan fitnah bahawa tentera Islam telah menyerang kabilahnya bagi mendapatkan bantuan penduduk Makkah.

Hasutan dan dendam menyebabkan penduduk Makkah telah menyiapkan lebih kurang 1000 orang tentera yang terbaik untuk menentang tentera Rasulullah. Tentera kafir diketuai Abu Jahal.

Pada 21 hari bulan Ramadhan (ada penulis mengatakan 17) tahun kedua Masihi bersamaan 624 Masihi., berlakulah peperangan antara puak Musyrikin dengan umat Islam yang terdiri daripada Muhajirin dan Ansar.

Sewaktu tentera Musyrikin mara menyerang tentera Islam, ayat 65 dari surah al-Anfal diturunkan yang bermaksud:

“Wahai Nabi! Kerahkanlah orang-orang yang beriman itu bertempur! Jika ada dua puluh orang diantaramu yang berhati sabar, nescaya dapat mereka mengalahkan dua ratus orang musuh. Jika ada seratus diantara kamu (orang mukmin yang sabar) akan dapat mengalahkan seribu orang kafir, kerana orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.”

Apabila mendapatkan seruan itu, Rasulullah melaungkan “Ya Mansur amit!” Seruan yang kedengaran seperti alunan muzik yang syahdu dan dengan spontan mereka menyerbu medan perang tanpa sedikitpun rasa gentar.

Tentera Islam akhirnya mengalahkan tentera musuh dengan bantuan Allah yang menghantar tentera malaikatNya yang telah dijanjikan dalam surah al-Anfal ayat 9-12.

Umat Islam tidak berbangga dengan kemenangan yang diperolehi, malah hanya memperketatkan rondaan serta terus menumpaskan musuh Islam.

Justeru Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ia bulan keimanan dalam mempertahakan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.